Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Maaf, tiada rawatan perubatan untuk pesakit di Hospital Batam semalam.

Ini kerana semua doktor pakar yang bertugas di Hospital Besar Wilayah Embung Fatimah (hospital kerajaan) di Batam, Kepulauan Riau melancarkan mogok semalam.

The Jakarta Post hari ini melaporkan bahawa pakar perubatan hospital tersebut melancarkan mogok sebagai membantah pentadbiran Batam, yang menurut mereka belum membayar honorarium dan insentif perkhidmatan perubatan.

Sepanjang hari, poliklinik pakar hospital berkenaan terpaksa tidak lagi menerima pesakit kerana tidak ada doktor yang bertugas.

Pesakit yang datang ke hospital terpaksa pergi ke hospital lain kerana tiada doktor bertugas.

Akhbar itu memetik seorang daripada doktor pakar dikenali Dewi P sebagai berkata beliau dan beberapa doktor lain telah berkali-kali bertanya kepada pengarah hospital mengenai bayaran honorarium mereka.

“Honorarium perkhidmatan kami telah tidak dibayar sejak sekian lama. Kami tidak pernah mendapat jawapan yang jelas setiap kali kami menuntut pembayaran honorarium. Pengarah (Hospital Embung Fatimah) tidak pernah menawarkan penyelesaian,” katanya.

Semasa bantahan, doktor pakar memilih untuk berada di ruang depan hospital sambil membawa kain rentang menyatakan rasa tidak puas hati mengenai pembayaran yang menurut mereka telah tertunggak sejak September 2016.

Sementara itu ketua Agensi Kesihatan Batam, Didi Kusumajadi hari ini mengaku bahawa pembayaran honorarium adalah tertunggak kerana pihak pentadbiran hospital menunggu penjelasan mengenai peraturan baharu tetapi insentif telahpun dibayar.

Honorarium perkhidmatan doktor berjumlah lebih Rp 5 juta (US$374.56) sebulan bagi setiap doktor secara purata. Sementara itu, insentif pula berkisar daripada Rp 25 juta kepada Rp 30 juta bagi setiap doktor pakar sebulan.

Bagaimanapun semua doktor pakar terlibat dilaporkan telah kembali bertugas hari ini.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS