Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penyewa lari, warga emas jadi mangsa Ah Long'
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 6:19 AM
Dikemaskini: 10:27 PM

Seorang warga emas terpaksa berhadapan dengan gangguan dan ugutan daripada Ah Long hampir setiap malam walaupun dia tidak pernah meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang haram itu.

Mangsa wanita berusia 71 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hua, seolah-olah dijadikan kambing hitam bila Ah Long berkenaan gagal mendapatkan bayaran balik pinjaman dari peminjam sebenar, yang kebetulan pernah menyewa rumah wanita itu.

Hua yang menetap di Taman Daya di Johor Bahru menyewakan rumahnya kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Wong’ berusia 38 tahun.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak mengsyaki apa-apa selepas penyewa rumahnya menghilangkan diri dan hanya mengetahui perkara sebenar selepas menerima surat ugutan ditampal di hadapan rumahnya Jun lalu.

“Terdapat perkataan ‘hutang duit bayar duit’ pada kertas berkenaan yang diletakkan di hadapan pintu pagar rumah saya.
“Baru-baru ini rumah saya disimbah dengan cat merah dan saya kini berasa tidak selamat untuk tinggal di rumah saya.

“Kami dimaklumkan bahawa penyewa rumah berkenaan telah membuat pinjaman kepada Ah Long pada jumlah yang besar sebelum bertindak melarikan diri dan menggunakan alamat rumah kami ‘sebagai jalan keluar,” kata Hua ketika ditemui pemberita semalam.

Hua yang tinggal bersama dua orang anak lelakinya juga mendakwa keluarganya kini dihantui dengan gangguan Ah Long hampir setiap malam yang datang membuat kecoh di hadapan rumahnya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Negeri Johor, Koo Shiaw Lee berkata pihaknya kini sedang berusaha menjejaki bekas penyewa rumah mangsa itu selain meminta bantuan daripada pihak berkuasa.

“Saya telah menghantar satu surat permohonan kepada pihak Polis Diraja Malaysia berkaitan kes ini dengan harapan ia dapat diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Selain itu, dua laporan polis telah dibuat mengenai kes itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS