Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penternak ikan Koi bimbang hilang mata pencarian

Sejumlah 39 penternak ikan perhiasan - ikan Koi - dari Perak bimbang mata pencarian mereka mungkin terjejas kerana pertikaian berhubung kawasan di mana kolam ikan mereka terletak.

Ini membabitkan 162.64 ekar tanah di Kampung Bali, Tronoh, yang menempatkan kolam ikan mereka sejak tahun 1980-an.

Walaupun tidak memiliki hakmilik atau pajakan ke atas tanah tersebut, tetapi mereka mendakwa aktiviti penternakan mereka dilakukan dengan pengetahuan kerajaan negeri, yang juga memberi mereka semangat dan berjanji untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan.

Bagaimanapun, bukan semua tanah itu di bawah kerajaan negeri, dengan 25.15 ekar dimiliki 15 pemilik persendirian di bawah Rancangan Tanah Berkelompok Bali (RTB).

Pertikaian itu timbul selepas tujuh pemilik persendirian itu menjual bahagian tanah mereka dan pemilik baru kini menuntut supaya penternak ikan di situ mengosongkan kawasan berkenaan.

"Pada suatu malam, beberapa orang datang dan memberitahu kami bahawa kolam ikan Koi itu kini milik mereka. Selepas itu saya tidak dapat tidur nyenyak. Jika mereka boleh berbuat demikian, maka tiga generasi penternak ikan Koi di kampung kami akan kehilangan pekerjaan," Kata Ng Soon Chi, 37.

Ng adalah antara 20 penternak ikan, yang dengan bantuan Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur semalam, memohonnya campur tangan.

Para penternak itu mahu kerajaan negeri Perak melaksanakan keputusan majlis exco negeri, yang telah diumumkan kepada Dewan Negeri pada 26 Ogos 2013.

Semasa sidang DUN itu, para penternak itu berkata, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan 162.64 ekar tanah itu kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (SADC), yang kemudiannya memajaknya kepada penternak ikan sedia ada, dan dengan itu memberi mereka status undang-undang.

'Zambry janji beri pampasan'

Bagi bahagian tanah yang dipertikaikan yang dimiliki pemilik persendirian, penternak itu berkata Zambry berjanji untuk memberi pampasan kepada mereka dengan saiz tanah yang sama di kawasan lain.

"Kenapa kerajaan Perak tidak melaksanakan keputusan exco negeri sehingga sekarang, seperti yang diumumkan kepada Dewan Undangan Negeri pada 26 Ogos 2013?" tanya mereka dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suhakam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS