Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengambilalihan oleh firma China di luar negara melonjak
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 10:22 AM
Dikemaskini: 4:34 AM

Penggabungan dan pengambilalihan oleh syarikat-syarikat China di negara-negara yang menjadi sebahagian daripada inisiatif 'Belt and Road' telah melonjak, walaupun ketika Beijing menyekat aliran keluar modal.

Pengambilalihan oleh syarikat China di 68 buah negara yang secara rasmi berkaitan dengan dasar luar Presiden China Xi Jinping berjumlah AS$33 bilion (RM141.79 bilion) sehingga hari Isnin, melepasi AS$31 bilion pada 2016, demikian menurut data Thomson Reuters.

Dilancarkan pada tahun 2013, projek 'Belt and Road' bertujuan untuk membina "Laluan Sutera" moden, yang menghubungkan China melalui darat dan laut ke Asia Tenggara, Pakistan dan Asia Tengah, dan seterusnya ke Timur Tengah, Eropah dan Afrika.

Pada sidang kemuncak pada bulan Mei, Xi menjanjikan AS$124 bilion (RM532.78 bilion) untuk rancangan itu, tetapi ia telah menimbulkan kecurigaan di Barat yang ia lebih ditujukan untuk melonjak pengaruh China, daripada keinginan Beijing untuk menyebarkan kemakmuran.

Lonjakan pelaburan berkaitan pemerolehan syarikat-syarikat China di koridor 'Belt and Road' berlaku ketika jumlah semua penggabungan dan pengambilalihan luar dari China menurun 42 peratus tahun-ke-tahun sehingga hari Isnin, demikian menurut data Thomson Reuters.

Langkah Beijing untuk menaikkan nilai yuan dengan menghadkan aliran modal ke luar negara dan menyekatkan pengambilalihan hutang untuk memastikan kestabilan kewangan, telah membuatnya lebih sukar untuk pembeli mendapat kelulusan bagi tawaran di luar negara.

Pengawal selia menjadi lebih ketat sejak bulan Jun, dengan mengkaji semula perjanjian secara terperinci dan mengarahkan sekumpulan pemberi peminjam untuk menilai pendedahan mereka terhadap pengambilalihan luar pesisir oleh beberapa syarikat besar yang berbelanja besar di luar negara, termasuk Kumpulan HNA, Kumpulan Dalian Wanda dan Kumpulan Fosun.

Peningkatan pengawalseliaan terhadappengambilalihan di luar negara dibuat selepas syarikat-syarikat membelanjakan rekod AS$220 bilion pada 2016 untuk aset di luar negara, dengan membeli semuanya, dari studio filem ke kelab bola sepak Eropah.

Bagaimanapun, penelitian itu tidak memberi kesan kepada usaha China untuk mencapai matlamat mengikut koridor 'Belt and Road' kerana pelaburan tersebut dianggap strategik untuk syarikat-syarikat serta ekonomi China.

"Orang berfikir untuk pendekatan jangka panjang ketika membuat pelaburan di negara-negara (koridor) 'Belt and Road', " kata Hilary Lau, seorang peguam korporat dan komersial dan rakan kongsi di firma guaman Herbert Smith Freehills.

"Pengambilalihan itu juga didorong oleh dasar. Terdapat dana yang diperuntukkan oleh bank-bank China dan dana kerajaan untuk urusan 'Belt and Road," katanya.

Bilangan urusan yang mensasarkan negara 'Belt and Road' berjumlah 109 tahun ini, berbanding 175 pada keseluruhan tahun lepas dan 134 pada 2015, demikian data Thomson Reuters.

Proses kelulusan lancar

Syarikat-syarikat menikmati proses kelulusan yang agak lancar untuk urusan di sepanjang projek 'Belt and Road' kerana pengawal selia cenderung meletakkannya dalam kelompok yang berbeza apabila mengkaji semula pelaburan keluar, demikian menurut peguam dan pembuat perjanjian.

"Jika anda melakukan One Belt, One Road, itu menjadi ayat pertama dalam dokumen" kepada pengawal selia, kata seorang penasihat kanan pelaburan di sebuah syarikat China yang telah memperoleh beberapa perniagaan di luar negara.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS