Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kajian: BERSATU gagal gempur, Felda masih kubu BN

Kajian mendapati parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang bergelut untuk memenangi sokongan peneroka Felda, terutama di Pahang, di mana sebahagian besar penempatan tersebut terletak.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa bahawa Felda tidak lagi boleh dianggap sebagai kubu kuat Umno kerana majlis anjuran pembangkang di penempatan itu menarik kehadiran yang besar.

Selepas menghabiskan lebih dari dua bulan di Pahang, eksekutif unit penyelidikan bebas Ilham Centre, Hisommuddin Bakar dan pasukannya mendapati bahawa isu-isu yang ditimbulkan oleh BERSATU gagal memberi kesan kepada peneroka.

“Kajian dibuat (sepanjang) April hingga Julai tahun ini, kita turun hampir dua bulan.

“Tujuh buah Felda - Felda Palong, Felda Kratum, Selancar, Chini, Bukit Goh, Lepa Utara dan Jengka - sentiment (semua) sama.

“Mereka terbeban dengan sara hidup dan hutang tanam semula Felda,” kata Hisommuddin ketika ditemui selepas sebuah forum di Kualaq Lumpur, malam semalam.

Beliau berkata, penemuan utama kajian itu adalah isu yang dikemukan oleh parti politik sebenarnya berbeza dengan kehendak peneroka

“Peneroka sebernarnya menderita dengan hutang sara diri, hutang tanam semula, tidak tahu tentang tanah sewaan mereka dari aspek geran.

“Mereka sudah selesai membuat bayaran tapi tidak dapat geran dan tidak ada jaminan akan dapat geran tanah 10 ekar, masa depan anak mereka, liabiliti hutang

“Apa yang diperjuangkan oleh pembangkang yang memasuki Felda ini sebenarnya agak jauh daripada hasrat sebenar peneroka,” katanya.

Hisommuddin berkata, BERSATU memberi tumpuan besar di Johor dan Kedah, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum sebarang gegaran dapat dirasakan di Pahang, antara negeri yang mempunyai jumlah peneroka yang besar.

“BERSATU mula kempen (di Felda) pada Mac hingga Mei, (mereka agak) agresif pada bulan Mei, (kemudian) berhenti (semasa bulan) puasa dan raya.

“Bandingkan dengan gerakan semasa masa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dahulu, Jelajah Merdeka rakyat, dia turun setiap malam, rali setiap negeri. Setahun sebelum PRU dia sudah agresif.

“Berbanding HARAPAN terlalu perlahan mereka mengempur untuk memecahkan tumpuan BN.

“Sebagai penyelidik, (kami dapati) belum sampai lagi tahap yang boleh menyebabkan berlakunya elemen tsunami,” kata Hisommuddin.

Beliau berpendapat bahawa undi Felda akan terus menjadi "simpanan tetap" untuk parti pemerintah, terutama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan insentif baru, bernilai lebih daripada RM1.6 bilion kepada peneroka bulan lalu.

“Tawaran enam inisiatif PM sebenarnya menjawab kehendak sebenarnya (peneroka) berbanding parti pembangkang .

“Setakat ini, itu tawaran yang terbaik kerana tawaran ini terus ke dalam hasrat sebenar, walaupun diskaun agak sedikit,” kata Hisommuddin.

Inisiatif yang akan memberi manfaat kepada 94,956 peneroka, termasuk pembayaran RM5,000, geran penanaman semula khas RM7,500, pelupusan hutang penanaman semula, pelupusan pinjaman ekuiti Felda Global Ventures (FGV) dan kelulusan untuk membina lebih daripada satu rumah di atas sebidang tanah.

Najib, yang berasal dari Pahang dan Ahli Parlimen Pekan, sebelum ini mengumumkan insentif RM500 dan bonus sempena Hari Raya kepada peneroka, tetapi menegaskan bahawa mereka yang mengambil tindakan undang-undang ke atas Felda atau enggan menjual hasil mereka kepada agensi itu tidak akan menerimanya.

Lihat Komen
ADS