Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berkaitan permohonan semakan kehakiman bagi memaksa polis menahan ahli perniagaan Jho Low.

“Tak apalah, kita tunggulah apa juga perintah mahkamah nanti,” katanya ringkas.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Khalid diminta mengulas tindakan menteri besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pada Isnin lalu yang memfailkan permohonan itu.

Azmin juga mahu Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho dibawa ke mahkamah di negara ini bagi menghadapi tuduhan jenayah bawah Seksyen 409 dan 420 Kanun Keseksaan dalam isu skandal 1MDB.

Dalam afidavit sokongannya, Azmin mendakwa Jho Low melakukan beberapa kesalahan termasuk pecah amanah dan penipuan melibatkan 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Khalid turut mengulas mengenai penemuan mayat seorang warga Korea Selatan dalam keadaan berbungkus di dalam tandas sebuah bilik hotel di Genting Highland.

Katanya, polis telah mengenal pasti suspek yang melakukan pembunuhan itu dan bersiap sedia di pintu sempadan bagi mengesan dan menahan individu itu.

"Kita percaya beliau adalah warga Korea, kita telah bersiap sedia pintu masuk dan keluar untuk menahan jika dia cuba tinggalkan negara ini.

"Ini berkaitan hutang judi jadi kita percaya ada kena mengena dengan bagi pinjam wang kepada warga Korea dan pergi berjudi di sana.

"Jadi bila tak boleh bayar, dia ambil tindakan macam tu. Kita telah mengenal pasti yang terlibat dan sedang buru. Biar kita tangkap dulu," katanya.

Semalam Bernama melaporkan warga Korea Xiang Lian Jin, 92, dipercayai dibunuh rakan senegaranya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata mayat mangsa ditemui pada 8.40 pagi tadi kira-kira 17 jam selepas biliknya dipercayai dimasuki seorang lelaki yang bersenjatakan pisau.

Mansor berkata suspek berusia 57 tahun itu dipercayai memasuki bilik mangsa pada pukul 3.30 petang Isnin ketika mangsa ada bersama pembantu rumahnya yang merupakan warga tempatan.

Lihat Komen
ADS