Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam kecam standard lokap polis Ayer Molek
Diterbitkan:  Aug 16, 2017 8:53 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Lokap polis di Ayer Molek, Johor Bahru berada dalam keadaan yang menyedihkan dan wajar ditutup jika "standard yang dapat diterima" tidak dapat dikekalkan, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail berkata lawatan badan itu ke pusat tahanan berkenaan menunjukkan ia memberi ancaman kesihatan terhadap tahanan.

Mereka juga, katanya, tidak diberikan air dan makanan mencukupi.

"Suhakam berpandangan keadaan di situ sangat buruk dan mereka dilayan secara kejam, tidak berperikemanusiaan atau hina.

"Kami mengulangi kenyataan bahawa melayan orang yang dilucutkan kebebasan mereka dengan berkemanusiaan serta menghormati maruah mereka adalah nilai diterima secara universal.

"Jika standard kemudahan tahanan yang wajar tidak dapat dikekalkan, lokap polis Ayer Molek dan di tempat lain yang berada dalam keadaan sama mesti ditutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali juga berkata kekurangan sumber kewangan tidak boleh dijadikan alasan untuk mewajarkan keadaan sedemikian.

Beli topeng, sarung tangan sendiri

Katanya Suhakam dapat melihat lantai semua sel dalam lokap itu dalam keadaan amat menyedihkan, manakala cahaya yang tidak memadai, selain pengudaraan yang buruk dan pakaian tahanan tidak mencukupi.

Mereka juga kekurangan tempat tidur.

Pasukan Suhakam yang melawat kemudahan itu, kata Razali, memberitahu peruntukan harian untuk tahanan lokap ialah sebanyak RM8 dan ia "tidak boleh diterima".

"Malah kakitangan lokap itu mengakui jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk makanan seimbang mengikut piawaian kementerian kesihatan disediakan," katanya.

Selain itu Suhakam berkata pasukan pelawat badan itu mendapati air minum yang disediakan kepada tahanan hanya diberikan tiga kali sehari.

Keadaan itu, kata Razali, melanggar Peraturan Standard Untuk Layanan Tahanan PBB yang menyatakan tahahan perlu mempunyai akses kepada air minum apabila diperlukan.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap kualiti buruk kemudahan sanitasi, jumlah tahanan berlebihan dalam sel serta kekurangan kemudahan perubatan di lokap.

Keadaan itu saja, katanya, melanggar Peraturan Lokap 1953 dan boleh menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit.

"Suhakam bersimpati terhadap petugas di lokap itu yang perlu membeli sendiri topeng atau sarung tangan untuk melindungi mereka daripada batuk kering (TB) dan penyakit lain.

"Suhakam dimaklumkan ada kes anggota polis yang ditempatkan di lokap itu dijangkiti TB daripada tahanan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS