Paling Popular
Terkini

ULASAN Surat Sungai telah diperkenalkan oleh Temenggung Ibrahim pada tahun 1844 dengan tujuan untuk memajukan sektor ekonomi gambir dan lada di Johor.

Bagaimanapun 'Surat Sungai' yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Johor pada tahun 1844 tidak lagi sesuai untuk dipraktikkan pada masa kini.

Pemegang Surat Sungai yang dipanggil Kangcu ini hanya diberi kebenaran mengusahakan tanah berdasarkan ketetapan yang telah dipersetujui.

Mereka diberi kebenaran memonopoli penjualan arak, pajak gadai, perjudian dan mendapat dalal daripada eksport lada hitam, gambir dan import beras.

Perkembangan ini menyebabkan kemasukan ribuan buruh Cina dalam jangka masa yang singkat dan dengan itu wujudlah perkampungan mereka yang dikenali sebagai Kangkar.

Untuk mewujudkan kembali Surat Sungai pada masa kini, adalah tidak wajar kerana Johor kini dibangunkan dengan baik oleh kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN).

Gabungan pemerintahan berkesan Sultan Johor dan kedinamikan menteri besar Johor telah meletakkan Johor sebagai negeri yang maju dan pesat membangun di negara ini.

Setiap era pemerintahan memerlukan kebijaksanaan untuk memacu negeri demi kesejahteraan rakyat; khususnya Bangsa Johor di Johor.

Surat Sungai relevan pada masa dikeluarkan pada tahun 1844 untuk pembangunan ekonomi Johor pada masa itu.

Apakah kita ingin kembali kepada satu sistem yang sudah tidak lagi wajar untuk pembangunan sebuah negeri maju dan moden di negara ini.

Konsep dan gagasan Bangsa Johor merupakan kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat Johor, mensejahterakan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi Johor.

Pada masa kini, kesepaduan rakyat begitu terserlah di bawah kepimpinan YAB Menteri.Besar melalui pelbagai inisiatif muafakat Johor.

Inilah agaknya yang membuatkan Sdr Mahdzir Ibrahim yang mewakili DAP berasa tidak senang dan menggugat usaha mereka untuk mempengaruhi minda orang Melayu bagi meraih sokongan seterusnya dapat menjadi parti yang mendominasi pemerintahan dalam negeri Johor.

Sebenarnya idea Mahdzir Ibrahim merupakan suatu usaha untuk mengganggu gugat kesepaduan Bangsa Johor.

Sebagai Bangsa Johor, muafakat itu amat penting dalam membentuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Dalam Undang-Undang Kangcu yang diluluskan pada tahun 1873, Fasal 56 mewajibkan penempatan seorang polis Melayu di dalam Kangkar dan Fasal 59 mensyaratkan Kangcu mengemukakan laporan kepada Mejar Cina di Johor Bahru.

Dengan mencadangkan Surat Sungai diadakan semula, seolah-olah ingin memecahbelahkan perpaduan kaum yang telah wujud di negeri Johor pada masa kini.

Atas kebijaksanaan Sultan Abu Bakar, Johor menjadi maju dan terkenal sebagai pengeksport utama gambir dan lada hitam dunia.

Baginda menggalakkan orang Melayu menyertai pertanian ini dan pada tahun 1894, jumlah buruh Cina berkhidmat di Johor seramai 210,000 orang.

Gabungan pelbagai kaum ini membuktikan telah wujud perpaduan kaum di Johor sejak sekian lama.

Kemerosotan gambir dan lada hitam telah menyebabkan buruh Cina meninggalkan pertanian tersebut dan beralih kepada pertanian getah.

Kerajaan Johor kemudiannya telah mengeluarkan Undang-Undang (Memansuhkan) Kuasa-Kuasa Kangcu; dan secara praktikal Sistem Kangcu dimansuhkan mulai 1 Disember 1917.

Justeru tidak timbul isu Bangsa Johor dalam konteks ini kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) 1895 ada menyatakan hal bangsa Johor.

Bukan pula suatu kesilapan jika orang Johor menganggap bangsa ini sebagai suatu identiti; malah menjadi suatu kebanggaan; malah lagu rasmi negeri Johor ialah Lagu Bangsa Johor.

Oleh itu, Persatuan Penulis Johor (PPJ) berpendapat tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan penggunaan Bangsa Johor kerana telah digunapakai sebelum Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan kini dikenali sebagai Malaysia; tanah air kita yang tercinta.


AMIRUDDIN MD ALI HANAFIAH adalah Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ)

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS