Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Tangkapan AMK bukti Najib begitu panik dan takut’
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 11:41 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

PKR menyifatkan tindakan polis menahan 15 anggota Pemuda (AMK) Pulau Pinang selepas mereka menyertai 'flashmob' sementara menunggu lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Permatang Pauh sebagai satu tamparan hebat terhadap amalan demokrasi di Malaysia.

Sambil melahirkan rasa kesal, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang juga adalah Naib Ketua AMK berkata, ini adalah bukti kerajaan tidak menghormati prinsip demokrasi dan hak bersuara seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Anak-anak muda yang berkumpul ini tidak membaling kerusi, suar mahupun selipar terhadap sesiapa malah hanya memegang plakad secara aman untuk menyatakan pendirian politik mereka.

“Adakah ini ditakrif pihak berkuasa sebagai satu ‘ancaman’ sehingga perlu menangkap peserta flashmob aman?

“Adakah Najib dan pentadbiran beliau sudah begitu panik dan takut tentang sentimen rakyat hinggakan peserta flashmob aman juga dilihat sebagai ‘musuh politik’ yang perlu ditahan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau sehubungan itu menuntut agar anak-anak muda itu segera dibebaskan.

“Najib (juga) perlu meminta maaf kepada mereka kerana apa yang mereka buat itu tidak salah malah hanya mengukuh dan mematangkan politik di Malaysia,” katanya.

Pagi tadi, 15 anggota AMK ditahan selepas berkumpul di depan Politeknik Seberang Perai di Bukit Mertajam, di mana perdana menteri dijangka menyertai ribuan orang pada jam 11 agi.

Mereka yang ditahan itu termasuk Ketua AMK negeri, Asrol Sani Abdul Razak Arol Sani dan anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai Ong Jing Cheng yang kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Rangka kerja sehari Najib ke Pulau Pinang selain menghadiri mesyuarat tertutup bersama barisan kepemimpinan BN negeri adalah sekali gus untuk menggempur kubu kuat bekas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Permatang Pauh.

Perdana Menteri dijadual hadir ke program Majlis Kenduri Rakyat Parlimen Permatang Pauh bersama kira-kira 20,000 hingga 25,000 orang.

Asrol Sani semalam memberitahu Malaysiakini, tujuan flashmob itu bukan mahu mencari masalah dengan pihak berkuasa tetapi mereka hanya mahu membawa sepanduk 'Bebaskan Anwar Segera’.

Ini kerana mereka percaya bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman lima tahun atas tuduhan meliwat adalah tidak bersalah.

Anwar sebelum ini berulang kali menafikan dakwaan itu dan sebaliknya mendakwa tuduhan itu adalah rekayasa Najib dan pentadbirannya manakala kerajaan menangkis tuduhan bahawa kes itu adalah berdasarkan bukti palsu.

Ketika ini, kerusi parlimen Permatang Pauh dipegang oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga adalah presiden PKR.

 

 

Lihat Komen
ADS