Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Kedah: Keputusan komersil punca kilang ditutup
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

SIDANG DUN KEDAH Penutupan beberapa buah kilang oleh syarikat multinasional di negeri ini bukan disebabkan oleh kemelesetan ekonomi ataupun faktor gaji minimum, sebaliknya lebih kepada keputusan komersial, demikian persidangan Dewan Undangan Kedah diberitahu hari ini.

Mengambil contoh penutupan kilang Hicom-Honda di Sungai Petani, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata ia mungkin disebabkan oleh keputusan pemegang saham untuk menarik diri, kemerosotan keuntungan atau penggunaan teknologi yang agak ketinggalan.

"Bukan kerana faktor gaji minimum atau mereka (pelabur) tidak gembira dengan dasar kita, sebab kita selama ini mengamalkan dasar propelabur dan akan sentiasa melaksanakan aspek yang boleh menarik lebih banyak kedatangan mereka.

"Kalaulah ia disebabkan oleh faktor-faktor sedemikian, mana mungkin kita mendapat jumlah pelaburan RM2.13 bilion pada tahun lalu sahaja​​​​​ ," katanya menjawab soalan tambahan Dr R Krisnamoorthy (PKR-Bukit Selambau) yang bertanyakan sama ada penutupan beberapa kilang di Kedah disebabkan pengenalan gaji minimum dan kejatuhan mata wang.

Ku Rahman berkata sejak Barisan Nasional kembali mentadbir Kedah pada 2013, banyak langkah dan inisiatif telah dilaksanakan untuk mengekalkan pelabur sedia ada selain menarik pelabur baharu, antaranya melalui aktiviti menaik taraf infrastruktur sedia ada yang dilaksanakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM14.25 juta bagi menaik taraf infrastruktur beberapa kawasan perindustrian seperti di Sungai Lalang, Mergong, Bakar Arang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim sejak 2013.

"Kita turut membuat dialog dengan para pelabur dan pemain industri bagi mengetahui masalah dan keperluan mereka dan hasilnya banyak isu ditimbulkan seperti isu bekalan air, tenaga elektrik, masalah perparitan dan longkang," katanya.

Pihaknya kata Ku Rahman, turut melakukan lawatan bersama MIDA ke lokasi kawasan perindustrian bagi mendengar permasalahan pemain industri secara lebih terperinci selain memberikan khidmat nasihat dan rundingan kepada pelabur luar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS