Paling Popular
Terkini

ULASAN | Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian pada tahun 2016.

Kadar pengangguran yang tinggi adalah satu malapetaka besar bahkan satu tragedi nasional bagi sesebuah negara. Isu pengangguran di kalangan siswazah merupakan satu masalah besar yang perlu ditangani segera.

Adakah kita hendak lihat anak cucu berterusan menjadi mangsa pengurusan ekonomi yang gagal?

Kadar pengangguran sebenar sudah tentu lebih tinggi lagi daripada apa yang didedahkan Datuk Idris Jusoh kerana pengangguran bukan sahaja terdiri daripada siswazah lepasan ijazah, tetapi siswazah ijazah kedua (sarjana, PhD), pelajar lepasan diploma daripada kolej-kolej, pelajar lepasan institusi-institusi kemahiran dan juga pelajar lepasan sekolah menengah.

Penganggur siswazah dan bukan siswazah juga boleh ditakrifkan mereka yang bekerja sambilan, bekerja secara kontrak dan mereka yang sudah berputus asa mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Ramai daripada siswazah yang gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran yang dimiliki cuba mendapatkan pekerjaan di peringkat yang lebih rendah.

Baru-baru ini kita dikejutkan oleh laporan tentang dua beradik Siti Nursyazalina Zailani siswazah dalam bidang kejuruteraan bahan dan adiknya Siti Nurdiyana pelajar ACCA Intec College yang bekerja sebagai pembantu domestik.

Pasaran buruh menguncup

Nursyazalina sanggup sebagai cleaner kerana telah gagal mendapat pekerjaan yang sesuai setelah banyak permohonan pekerjaan ditolak.

Nurdiyana pula bekerja sambilan untuk menampung kos perbelanjaan harian sebagai pelajar dan membantu ibu mereka yang merupakan seorang ibu tunggal.

Jika siswazah gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan dengan pendapatan yang setimpal maka harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju sukar terlaksana.

Kita kesal kerana kerajaan gagal untuk fokus dan memberi perhatian kepada kerjaya masa depan generasi muda yang akan datang. Lebih teruk lagi pengangguran bakal membawa kepada masalah sosial seperti kemiskinan dan jenayah di kalangan mereka yang menganggur akibat kesempitan hidup.

Perkara yang dibimbangkan adalah, tatkala pasaran buruh menguncup akibat kelembapan ekonomi, bilangan siswazah dan bukan siswazah pula meningkat saban tahun.

Lebih teruk lagi, kajian Bank Negara Malaysia 2015 mendapati siswazah daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah lebih sukar mendapat pekerjaan. Oleh itu, peningkatan taraf sosial atau upward mobility golongan keluarga berpendapatan rendah tidak akan berlaku. Justeru itu, jurang pendapatan golongan kaya dan miskin terus melebar.

Apakah masalah sebenar yang menyebabkan siswazah lepasan universiti dan bukan siswazah ini menganggur?

Satu penyelidikan yang lebih mendalam adalah wajar untuk mengenal pasti punca pengangguran di kalangan siswazah dan bukan siswazah di Malaysia dan seterusnya satu dasar untuk menangani isu pengangguran ini perlu dikaji semula dari semasa ke semasa.

Ini adalah masa untuk kita memberi HARAPAN dan peluang kerjaya serta ekonomi kepada golongan muda seluruh negara.


DATUK ABDUL HALIM HUSSAIN ialah mantan speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Ketua PKR Balik Pulau.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS