Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Dr Ibrahim Ali mengakui dirinya "Raja Rasis Malaysia".

Malah, ketua gerakan NGO pendesak Melayu itu berkata beliau tidak peduli sedikit pun kecaman dan cemuhan yang dilemparkan orang kepadanya.

Kata Ibrahim, semua kecaman dan cemuhan itu hanya menjadikan beliau dan PERKASA semakin kuat.

Tegas Ibrahim lagi, ini kerana pihaknya hanya bergerak mengikut lunas perundangan dan mempertahankan hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Saya nak maklumkan kepada tuan, puan, saya sangat bangga dan nak mengaku saya raja rasis Malaysia, so what? So what?

"Siapa yang kata kita rasis, siapa kata kita kecil, siapa yang menghina kita, persetankan mereka," kata Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Melayu Wilayah Persekutuan anjuran PERKASA Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur hari ini.

Macam kita ni haram

Menteri Pelancongan dan Budaya Datuk Seri Nazri Aziz Selasa lalu mendakwa PERKASA dipenuhi orang rasis selepas gerakan pendesak hak Melayu itu membidas majlis pelancaran Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Dakwaan itu dibuat ekoran kenyataan Setiausaha Agung PERKASA Syed Hassan Syed Ali yang menyifatkan acara pelancaran itu sebagai “terlalu China”.

PERKASA sebelum ini mendakwa majlis yang dihadiri pegawai tinggi kerajaan China dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukti negara “dijajah” melalui ekonomi.

Projek RM55 bilion itu dengan laluan sepanjang 668km dibina dan dibiaya firma milik kerajaan China. ECRL dijangka siap 2024.

Mengulas lanjut, Ibrahim mempersoalkan apakah salah bagi pertubuhan itu mempertahankan hak bangsa mereka sendiri.

"Lepas menghina kita, siapa PERKASA, seolah-olah kita dinafikan kedudukan kita sebagai haram. Seolah-olah kita ini bukan rakyat Malaysia yang tiada hak bersuara.

"Salahkah kita bercakap soal hak bangsa kita? Salahkah kita pertahankan agama kita? Kalau ada golongan liberal yang mempersoalkan Islam itu sebab mereka tak faham Islam," kata Ibrahim.

Nak dapat warung pun menangis

Bekas anggota parlimen Pasir Mas itu juga turut mempersoalkan apakah parti kompenan kerajaan seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak rasis.

"Mereka tuduh kita rasis, apa MCA, MIC, Gerakan tidak rasis, kepala bapak dia," soal Ibrahim.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapannya turut menyifatkan Melayu di Wilayah Persekutuan hari ini adalah "Melayu bangsa kaki lima"

"Saya menyifatkan Melayu di WP ini kalau tidak keterlaluan saya sebut adalah Melayu bangsa kaki lima.

"Masakan tidak, di bumi Wilayah Persekutuan ini kita kena terima hakikat buminya dipijak orang, bertempiklah bagaimanapun keadaan tidak akan berubah," kata Ibrahim.

Menurut Ibrahim, tiada apa lagi yang tinggal untuk kaum Melayu di Wilayah Persekutuan.

"Maka perjuangan Melayu di Wilayah ni apa? Orang Melayu nak dapat warung pun menangis.

"Perjuangan orang Melayu di Wilayah nak berdepan dengan Dewan Bandaraya sebab ada tempat-tempat penjaja diangkut kereta sorong. Itu saja, apa lagi saya tak nampak sebab Melayu Wilayah hanya Melayu kaki lima tetapi tidak banyak yang sedar," keluh Ibrahim.

Lihat Komen
ADS