Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kebebasan media lebih baik bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi.

Katanya, pengamal media tidak lagi dikongkong oleh agenda sesebuah sesebuah akhbar seperti dalam era kepimpinan perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zahid berkata, kesimpulan itu dibuatnya hasil kajiannya ketika melengkapkan ijazah kedoktorannya, yang membandingkan dua media tradisional utama berbahasa Melayu – Utusan Malaysia dan Berita Harian.

“Dan saya lihat bahawa fakta-fakta yang terpapar dalam kajian saya itu, jika ia masih relevan lagi, adalah satu gambaran bahawa (terdapat) penentuan agenda.

"Penentuan agenda dibuat oleh seseorang. Apa yang dibuat ketika itu bukan dipersetujui – atau tidak dipersetujui – oleh rakan-rakan pengamal media.

"Dalam hal inilah kita melihat perbezaan bagaimana kebebasan akhbar diterjemahkan lebih baik zaman selepas beliau tanpa kongkongan, tanpa adanya penentuan agenda yang telah ditentukan oleh seseorang," kata Zahid.

Kajiannya itu membandingkan laporan-laporan dalam lima kali pilihan raya umum di Malaysia.

Zahid bagaimanapun cuma merujuk tokoh yang kini memimpin gabungan pembangkang itu sebagai “seorang pemimpin paling lama memimpin dalam negara ini”.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran buku berkualiti mewah BH Enam Dekad Kekal Dinamik di Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid, naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti itu berkata dalam kebebasan media hari ini etika kewartawanan perlu dikekalkan.

Zahid juga berkata pengamal media hari ini berdepan dengan cabaran terkini media baru yang didakwanya turut mempunyai agenda masing-masing.

'Jangan timbulkan kemarahan'

Sementara itu, anggota parlimen Bagan Datok juga berkata, media tidak lagi boleh secara semberono melaporkan sehingga boleh menimbulkan kemarahan masyarakat.

"Dalam hal inilah kebertanggungjawaban sosial harus ada kepada kita pengamal media lama atau baru,” katanya yang tidak menyentuh secara langsung kepada mana-mana pihak.

Zahid juga memuji akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia yang menurutnya sentiasa mengamalkan etika kewartawanan.

"Dalam hal BH, masih tentunya dengan rakan-rakan lain dalam kumpulan media masih teruskan kukuh mengamalkan etika kewartawanan yang baik," tambah Zahid.

Lihat Komen
ADS