Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan RCI forex boleh 'siap 3 hari', kata Zaid
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 1:54 PM
Dikemaskini: Aug 24, 2017 5:31 AM

Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiiasat kerugian Bank Negara memulakan sesi pertama mereka semalam.

Berdasarkan apa yang dilaporkan, Datuk Zaid Ibrahim berkata, RCI itu hanya perlukan masa tiga hari untuk melengkapkan siasatan dan tidak perlu sehingga tiga bulan seperti yang diperuntukkan.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, pada hari pertama RCI bersidang enam anggotanya diberitahu kerugian Bank Negara daripada aktiviti perdagangan mata wang asing (forex) antara 1991 hingga 1994 berjumlah RM31.5 bilion.

"Selepas hari pertama RCI mendapati kerugian sebanyak RM31 bilion tidak didedahkan; pada hari kedua Tun M didapati bertanggungjawab dan hari ketiga laporan penuh boleh didedahkan," katanya secara sinis melalui Twitter hari ini.

Zaid juga bertanya mengapa kerajaan perlu memperuntukkan tempoh sehingga tiga bulan bagi RCI itu menjalankan siasatan dan ia hanya akan membazirkan lebih banyak dana awam.

 

 

Semalam Pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan mendedahkan pihaknya menemui kerugian sebenar dialami Bank Negara akibat aktiviti forex itu - semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri - disembunyikan daripada laporan.

Justeru kata bekas ketua setiausaha negara itu, RCI terbabit perlu memastikan siapa bertanggungjawab mahu jumlah berkenaan disorokkan.

Bekas pegawai Bank Negara Abdul Aziz Abdul Manaf yang menjadi saksi pertama ditanya mengapa jumlah itu tidak dimasukkan dalam laporan mengenainya.

Abdul Aziz memberitahu, jumlah keuntungan dan kerugian aktiviti berkenaan hanya dilaporkan kepada lembaga pengarah Bank Negara.

Sementara itu bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid yang turut memberi keterangan semalam berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penjelasan mengenai kerugian berkenaan.

Anwar ketika itu berkhidmat sebagai menteri kewangan.

RCI berkenaan dijangka menyiapkan laporannya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh ia ditubuhkan pada 15 Julai lalu. Dapatan mereka akan diserahkan kemudian kepada Yang di-Pertuan Agong.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS