Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Balu Ibrahim Libya tak dapat maafkan Mahathir
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 3:57 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Separuh hidupnya Soleha Husin tertunggu-tunggu supaya kebenaran di sebalik peristiwa berdarah yang mengorbankan suaminya Ibrahim Mahmud terserlah.

Justeru, kesediaan kerajaan untuk membentuk suruhanjaya diraja bagi menyiasat peristiwa lebih tiga dekad lalu itu disambut baik oleh Soleha, lapor New Strait Times.

Dalam laporan itu, Soleha, 65, turut mengimbau kembali bagaimana sang suami mati di pangkuan selepas ditembak.

Begitu juga bagaimana orang kampung Memali di Baling cuba menghalang Ibrahim, yang dikenali sebagai Ibrahim Libya. ditangkap polis setelah dilayan seperti penjenayah.

“Mereka semua, penoreh getah, bergegas untuk bantu suami saya pagi itu bila dengar polis hendak tangkap dia.

“Saya masih ingat kesan darah di depan rumah dan jalan, di mana seorang penduduk kampung mati ditembak polis,” katanya kepada akhbar itu di Kampung Charok Putih Siong, tempat insiden itu berlaku pada 19 November 1985.

Katanya, lima anaknya juga gembira mendengar berita berkaitan kemungkinan RCI Memali ditubuhkan.

“Anak-anak saya masih kecil ketika kejadian. Seorang pun tak ada di rumah ketika ayah mereka ditembak,” katanya.

Sampai hari ini, seperti banyak lagi penduduk Memali, beliau belum dapat memaafkan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi mengkaji tragedi itu jika ada pihak yang memintanya.

PAS menyambut baik kesediaan itu dan akan membawa waris-waris mangsa untuk bertemu dan membuat permintaan rasmi kepadanya.


Tujuh peluru, 4 kali di dada

Sementara itu, Abdullah Che Soh, 71, pula masih ingat terhadap insiden berdarah itu yang meninggalkannya tujuh parut kesan peluru di tubuhnya.

Beliau antara penoreh getah yang mengawal di depan rumah Ibrahim bagi mengelakkan Ibrahim daripada ditangkap polis.

“Kami bersenjatakan parang dan beberapa batang kayu, tetapi kami hanya hayun kepada polis untuk tidak bagi mereka rapat ke rumah.

“Saya ditembak tujuh kali, empat kali di dada, dua di tangan dan satu lagi di kiri pinggang,” katanya.

Dua anak Abdulllah, Abdul Fatah, 45, and Abdul Rashid, 43, turut berada di tempat kejadian ketika peristiwa.

Isterinya pula Kalsom Salim, 67, dan tiga anak perempuan mereka, Noriah, 47, Siti Fatimah, 37, dan Norhidayah, 34, berkawal di sekatan orang kampung bagi menghalang polis masuk ke rumah.

“Pada masa itu, anak saya cuma berumur antara dua dan 15 tahun, kami pertahankan pendirian kami kerana kami tidak bersalah.

“Apa yang paling menyedihkan ketika itu apabila kami dilayan macam pemberontak komunis,” katanya lagi.

Isu Memali timbul kembali dalam forum melibatkan Mahathir di Shah Alam pada 13 Ogos lalu yang mencetuskan huru-hara dan keganasan.

Tragedi lebih 30 tahun lalu itu menyaksikan pertempuran antara penduduk kampung diketuai Ibrahim dan pasukan keselamatan yang mengorbankan 18 nyawa.

Lihat Komen
ADS