Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KPM jumpa NUTP, PIBG, NGO atasi isu pelajar bermasalah
Diterbitkan:  Aug 23, 2017 6:32 AM
Dikemaskini: 10:39 PM

Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan bersama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan bagi mencari kaedah terbaik membanteras isu pelajar bermasalah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perbincangan yang dijangka berlangsung bulan depan itu akan turut melibatkan pegawai kerajaan dalam sektor pendidikan serta penasihat undang-undang, antara lain bagi memahami had dan bidang kuasa kementerian jika sesuatu tindakan diambil termasuk kesannya terhadap pelajar, sekolah dan kementerian.

Katanya sebagai menteri, beliau perlu mendengar pandangan banyak pihak terutamanya pihak berkepentingan bidang pendidikan negara walaupun secara peribadi berpendapat tindakan keras perlu diambil seperti menggantung persekolahan sehingga setahun atau menghantar pelajar bermasalah menjalani program kesedaran di penjara dan lokap.

"Jika melihat kepada video kes buli yang tular di media sosial, saya secara peribadi tidak dapat menerima pelajar yang berumur 15 atau 16 tahun sanggup melakukan kekerasan dan jika begitu kelakuannya, budak itu tidak perlu datang ke sekolah, digantung pengajian atau 'dihantar ke penjara'.

"Itu pendapat peribadi saya. Mungkin pendapat kesatuan, PIBG dan NGO berlainan dan dalam hal ini, saya tidak boleh berkeras mengatakan pandangan saya perlu diterima dan dipakai kerana Kementerian Pendidikan ada pihak berkepentingannya yang tersendiri," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Tawaran Baharu kepada 198 Pengetua dan Guru Besar (TBPGB) bagi 2015 atas kecemerlangan sekolah masing-masing.

Beliau diminta mengulas berhubung cadangannya yang mahu hukuman lebih keras dikenakan kepada pelajar bermasalah dalam kes disiplin, buli, gengsterisme dan penyalahgunaan dadah untuk menjalani program pemulihan di penjara dan lokap.

Mengenai pandangan beberapa pihak bahawa tindakan membawa pelajar bermasalah ke penjara berisiko menyebabkan pelajar mengalami trauma, Mahdzir berkata cadangan itu bukan bermakna pelajar perlu dimasukkan ke penjara atau lokap sebaliknya lebih kepada 'lawatan' pendedahan kepada mereka mengenai fungsi serta peranan penjara dan lokap kepada seseorang yang melakukan kesalahan atau jenayah.

Melalui program itu, katanya, pelajar yang bermasalah akan diberikan kaunseling dan penerangan oleh pegawai penjara mengenai undang-undang dan kesalahan-kesalahan yang boleh menyebabkan seseorang di penjara atas perbuatan yang dilakukan.

"Bila saya kata bawa pergi lokap, ia bukan bermaksud murid ditahan di penjara atau lokap tetapi di situ mereka diperlihatkan dengan hukuman yang bakal dilalui jika melakukan perbuatan seperti memukul dan mencederakan orang lain selain melihat keadaan sebenar penjara yang diharap mampu memberi kesedaran dan keinsafan, seterusnya tidak lagi melakukan perbuatan yang melanggar disiplin," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pendidikan sedang merangka program pemulihan di penjara dan lokap selama enam bulan kepada pelajar bermasalah disiplin serius, dalam usaha memerangi isu gejala sosial di sekolah.

Mengenai TBPGB, Mahdzir berkata beliau bagi pihak kementerian amat berbangga kerana daripada 198 sekolah terpilih, sebanyak 129 atau 65.15 peratus adalah terdiri daripada sekolah-sekolah yang terletak di luar bandar di mana Sabah adalah penerima tertinggi dengan 36 buah sekolah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS