Paling Popular
Terkini

PAS sekali lagi menegaskan tidak ada sebarang rundingan kerjasama antara PAS dengan PKR bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mengulangi penegasan itu kali ini ialah anggota parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Kata bekas orang penting Dewan Ulama PAS Pusat itu parti berkenaan hanya akan menjalin kerjasama dengan parti dalam dalam Gagasan Sejahtera yang dibentuk mereka sebelum ini.

Malah katanya, Pas akan hanya bekerjasama dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera yang dibentuk sebelum ini.

"Tak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik [...] termasuk atas nama individu sekalipun, selagi ia membawa imej Pakatan Harapan," katanya kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu boleh dianggap sebagai satu lagi tamparan daripada PAS buat PKR selepas timbalan presidennya Datuk Seri Azmin Ali mengesahkan ada rundingan kerjasama tidak rasmi dengan parti terbabit baru-baru ini.

Kata Azmin rundingan itu diusahakan untuk melihat BN dapat dikalahkan pada PRU ke-14 nanti.

Bagaimanapun menteri besar Selangor itu kemudian menyatakan rundingan itu tidak melibatkat gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tidak disenangi ahli

Pada masa sama PAS menyatakan dari semasa ke semasa rancangan mereka untuk meletakkan calon di kerusi yang diyakini mereka boleh dimenangi, termasuk yang sedang diwakili PKR ketika ini.

Satu daripadanya ialah Permatang Pauh yang kini disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut disasarkan ialah kerusi Azmin sendiri - Gombak - serta dua naib presiden PKR Tian Chua (Batu) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Untuk rekod Azmin baru-baru ini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya HARAPAN.

Menurut Khairuddin, kerjasama dengan PKR tidak akan berlaku sama sekali.

"Ahli dan pimpinan PAS telah bersedia dari sudut psikologi untuk masuk PRU ke-14 bersama Gagasan Sejahtera dengan slogan PAS ganti Umno, dan Gagasan Sejahtera ganti BN dan HARAPAN," kata Khairuddin yang kini menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PAS.

Untuk rekod cubaan mengadakan kerjasama dengan PAS itu memberi kesan kepada PKR sendiri apabila anggota dari pelbagai peringkat menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Gelora itu dapat dikesan di sekurang-kurangnya dua negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Anggota Parlimen Selayang, William Leong, sudah meletakkan jawatannya daripada anggota Biro Politik PKR, manakala Timbalan Ketua PKR Kelantan Mohamad Roslan Puteh yang juga wakil rakyat Guchil sudah menyerahkan surat melepaskan jawatan di peringkat negeri kepada ibu pejabat partinya pada 16 Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS