Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini melaga-laga masyarakat, kata Utusan
Diterbitkan:  Aug 27, 2017 1:49 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Akhar milik Umno, Utusan Malaysia, mendakwa Malaysiakini mengambil kesempatan daripada ruang komen pembaca untuk melaga-lagakan masyarakat.

Laporan akhbar itu hari ini menyebut, Malaysiakini juga menggunakan ruang berkenaan untuk membangkitkan suasana jelik.

Memetik kenyataan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nora Nordin, akhbar itu mendakwa Malaysiakini tidak menapis komen pembaca walaupun "ramai" daripada mereka menggunakan perkataan kurang sopan dan berbaur hasutan.

Lebih menyedihkan kata pensyarah kanan hak cipta dan penerbitan itu Malaysiakini membuat susulan daripada situasi yang berlaku itu.

"Apa tujuan dan niat sebenar Malaysiakini sehingga membiarkan komen-komen sedemikian kalau bukan mahu melaga-lagakan dan menimbulkan suasana ketegangan dalam masyarakat.

"Cukup menyedihkan apabila pengamal media baru seperti Malaysiakini gagal menterjemah penulisan berita dengan tanggungjawab dan tindakan seperti ni memalukan industri tempatan," katanya.

Untuk rekod memang Malaysiakini pernah membuat berita susulan daripada komen pembaca.

Tak mahu komen lanjut

Satu daripadanya ialah rasa terkilan seorang bekas pensyarah kanan dan penganalisis politik terkenal Dr Ahmad Atory Hussain yang terpaksa menunggu lama untuk mengerjakan haji.

Menurut Ahmad Atory, mengikut sistem sedia ada pada Lembaga Tabung Haji, namanya hanya akan terpilih melaksanakan ibadah itu ketika berusia 110 tahun.

Atory ketika itu mengulas mengenai tindakan kerajaan menaja ketua kampung dan imam muda menunaikan haji menerusi tajaan 1MDB.

Sementara itu bekas profesor Jabatan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Safar Hasim berkata meletakkan penafian pada komen itu bukan alasan untuk Malaysiakini berlepas tangan.

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan kerana Malaysiakini bertanggungjawab memperkenal dan mengendalikan ruangan komen para portal tersebut.

"Kita menyedari masyarakat berhak bersuara dan kita bukan menyekat mereka daripada menyuarakan pandangan masing-masing, tapi kalau pendapat bersifat emosional, tiada fakta kukuh hanya menimbulkan persepsi serta fitnah, apa ertinya bersuara," katanya dipetik akhbar itu.

Kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat, pula secara sinis mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa kerana "Malaysiakini berjaya menjinakkan" mereka.

Katanya Malaysiakini juga secara terpilih menyiarkan banyak komentar liar termasuk mencabar keputusan mahkamah.

"Taktik Malaysiakini menggunakan notis bahawa portal itu tidak bertanggungjawab atas sebarang komen jelek [sic] pembacanya mesti dihentikan," katanya.

Awang Selamat juga menyatakan Malaysiakini menikmati kelebihan malah ramai yang melihat portal itu kebal kerana tidak diambil tindakan.

"Awang tidak mahu komen lanjut, cukup sekadar ucapkan tahniah kerana Malaysiakini boleh menjinakkan pihak berkuasa kita," katanya.

Lihat Komen
ADS