Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah China sedang jajah Malaysia? Tidak, tapi...

ULASAN l Kolonialisme berdasarkan sejarah, berbeza dengan kepercayaan kebanyakan orang, tidak bermula dengan sebuah peperangan . Kolonialisme British, adalah salah satu manifestasi kolonialisme yang paling agresif dapat disaksikan oleh sejarah, namun permulaannya sangat naif.

Ia bermula dengan pembinaan stesyen batu arang di pelbagai benua di seluruh dunia. Sebermulanya pergolakan domestik di negara-negara Afrika, India, Asia Tenggara dan tempat-tempat lain, Syarikat Hindia Timur Inggeris memohon pertolongan dan campurtangan.

Kemudian, apa yang kita tahu seterusnya, Empayar British mula terbentuk dan semakin meluas pada pertengahan kurun ke-18, sehingga memerlukan campur tangan London untuk mempertahankan semua stesen arang batu mereka.

Apa sebabnya? Supaya kepentingan perniagaan British dalam menguasai perdagangan antarabangsa tercapai.

Kita ada pelbagai alasan untuk mempercayai bahawa imperialisme China – andai dan bila ia terbentuk – akan bermula dan membentuk sebuah empayar secara “kebetulan” jua.

Moto “One Belt One Road” (OBOR) mempunyai citra menghubungkan China dengan lebih daripada 62 negara, sejauh Kenya dan Djibouti, dan mensasarkan Kenya mampu menyediakan fasiliti yang dapat menampung armada laut China.

Secara keseluruhan, China mensasarkan akan mengeluarkan tidak kurang dari AS$5 trilion untuk semua aset-aset ini.

Udang sebalik batu

Sebanyak AS$3 trilion tersimpan di rizab China, apa-apa sahaja pengeluaran satu pertiga atau lebih daripada jumlah rezab itu, China akan mempertahankannya. Tetapi, dengan perbelanjaan OBOR di tahun dan dasawarsa mendatang, andai tidak menjadi, mengapa China tidak akan mempertahankan AS$5 trilion yang mereka belanjakan?

Ini berlaku secara semula jadi. Kalau tidak, bagaimana mereka mahu justifikasikan pembaziran secara diplomasi? Mereka tidak boleh.

Satu jalan sahaja untuk China mempertahankan OBOR – daripada mengharapkan “kuasa lembut” – hanyalah dengan “kuasa keras”.

Namun, apa yang berlaku kini, belum ada kata putus dan tujuan ‘udang di sebalik batu’ tentang China dan OBOR. Malaysia mengalu-alukan pelaburan luar tanpa gagal.

Sebaliknya, mereka dialu-alukan sebagai kuasa Asia dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terutamanya oleh Majlis Keselamatan PBB (UN Security Council), di mana hanya China sahaja wakil Asia sejak berakhirnya perang dunia kedua.

Benar, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berjaya dapatkan Tokyo untuk mewakili kepentingan Malaysia dan ASEAN di G7, di mana Jepun satu-satunya wakil Asia, adalah dari buah fikiran Dr Mahathir untuk membentuk East Asian Economic Group (EAEG) kepada Perdana Menteri Li Peng.

Matlamat Dr Mahathir pada waktu itu, sama juga sekarang, untuk memberi laluan China bagi mengetuai rantau ini.

Setiausaha Amerika Syarikat, James Baker telah bersusah payah cuba untuk merencatkan Dr Mahathir, sehinggakan sanggup memberi amaran kepada Korea Selatan dan Jepun untuk tidak menerima pendekatan Dr Mahathir.

Benar, Baker memberi amaran kepada kedua-dua negara ini bahawa Amerika Syarikat lah yang telah membantu mereka “dengan darah dan peluh” semenjak berakhirnya perang dunia kedua.

Baker betul. Sama juga Dr Mahathir. Dalam menggesa Asia untuk membentuk sebuah kumpulan ekonomi bersama, dengan China sebagai ketuanya, beliau hanya memberi tindak balas kepada kuasa di Eropah.

Rakyat tanggung hutang

Sehingga 1990, usaha untuk membetuk Kesatuan Eropah (EU) telah bermula. Andai China dan Asia Timur tidak dapat berdiri tegak bersama, rantau ini akan terdedah dengan ragam polisi sesama sendiri.

Dan yang benar belaku, krisis ekonomi Asia pada 1997 sehingga 1998 membuktikan ramalan beliau benar.

Sehingga 1998, ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan telah bulat suara untuk sama-sama mempertahankan diri mereka ke atas apa-apa spekulasi kewangan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, jikalau China tetap memperluaskan OBOR, lebih cepat daripada ASEAN dan Timur Asia dapat lakukan, Beijing mungkin yang pertama dapat mengambil alih kepentingan rantau juga kepentingan antarabangsa.

Inilah yang dikatakan dengan posibiliti sebuah empayar China secara “kebetulan” sangat tinggi. Meyakinkan lagi, bayangannya dapat dilihat di Malaysia – dengan komplikasi yang dihadapi Umno.

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditetapkan pada RM55 bilion. Ini didakwa lebih RM25 bilion daripada bajet sebenar. Terdapat indikasi yang China didakwa membenarkan Umno dan kontraktor tempatan untuk menaikkan bajet bagi membayar wang saku mereka sendiri.

Dengan Malaysia memiliki projek tersebut, projek ini perlu berjaya, yang mana pembayar cukai mestilah mengganggap diri mereka akan menanggung hutang kira-kiranya tujuh tahun dengan kadar faedah sebanyak 3.25 peratus, bukan sebuah kontrak bilateral di antara dua kerajaan.

3.25 peratus ini, adalah sangat tinggi. Kalau tidak cukup bayaran tanan dan volum dapat dikumpulkan, seluruh projek ini akan jatuh dan gagal.

Jadi koloni China

Kajian oleh Professor KS Jomo menunjukkan bahawa seluruh projek ini perlu meningkatkan bayaran tanan dari 6 juta tanan sekarang ke 60 juta tanan. Dan ini hanya kadar di Asia sahaja.

Hanya China sahaja yang mampu menampung kenaikan tanan yang begitu tinggi. Andai China tidak mengangkat tangan menampung volum kereta api di Malaysia, Malaysia kemungkinan besar akan berada dalam keadaan yang sangat merbahaya.

Tidak seperti Hambantota di Sri Lanka, yang tidak mampu membayar pinjaman hutang sebanyak AS$301 juta dengan kadar faedah yang tinggi sebanyak 6.3 peratus.

Mereka tidak ada satu perniagaan yang mapan, lalu terpaksa menukarkan fasiliti mereka dua kali ganda besar dari Macao, memberikan pajakan 99 tahun dengan firma-firma China memegang 80 peratus bagi menggantikan hutang dengan equiti.

Anggaran hutang negara Sri Lanka ialah AS$64.9 bilion yang daripada AS$8 bilion adalah hutang kepada China dengan kadar faedah yang tinggi diberikan hutang oleh Bank Dunia atau Asian Development Bank (ADB) yang hanya mengecaj 0.25 ke 3 peratus, dengan banyak lagi struktur kerajaan berbanding perbincangan yang diragui mengenai hutang dengan China.

Di negara lain, Venezuela mengalami perkara yang sama. Bilamana mereka tidak mampu membayar hutang AS$63 bilion, Caracas terpaksa membayar balik dengan minyak. Semasa harga minyak masih AS$100 setiap tong, pembayaran balik adalah mudah.

Namun, bermula 2014, harga minyak telah jatuh sebanyak separuh dari harga asalnya. Usaha pembayaran semula hutang kepada China oleh Venezuela melibatkan peningkatan dua kali ganda harga minyak. Mana-mana pun, China yang untung.

Dalam kes Venezuela, kejatuhan ekonominya meletakkannya menjadi koloni China. Tambahan lagi, di negara yang lebih jauh, Zimbabwe sudah menjadi koloni China.

Unit mata wang Republik Rakyat China, Renminbi telah menjadi mata wang pilihan. Kehilangan kedaulatannya secara efektif, pada satu masa akan datang.

Dalam ketiga-tiga kes ini, kita boleh lihat murahnya hati China – dengan memberikan pinjaman – yang datang dengan harga yang mahal, terutamanya dengan penguasa tempatan yang tidak tahu menguruskan mereka.

Dalam kes Malaysia, 1MDB telah membuktikan tadbir urus yang lemah oleh kerajaan Umno dalam menjalankan pelaburan antarabangsa. Ia mengharapkan hutang diatas hutang, tanpa gagal. Dan Umno, berdegil tanpa rasa bersalah dan bersikap beralasan.

Politikal ekonomi yang dipraktikkan oleh Umno, di mana kepentingan pihak atasan Majlis Tertinggi Umno menguasai, menyakitkan kepentingan tempatan negara Malaysia.

Kolonialisme akibat ketamakan

Semakin banyak wang China disalurkan ke Malaysia, semakin banyak wang yang Umno akan gunakan untuk mengikat suara orang bawahan – tidak seperti bagaimana Baker berusaha menghalang Jepun dan Korea Selatan daripada menyokong Dr Mahathir.

Dalam Umno yang terkini, semestinya Dr Mahathir tidak ada lagi. Dan Najib sebagai ketua, di mana “Duit adalah raja”, duit daripada China akan didakwa berpada dalam saku golongan beliau dan penasihat-penasihat beliau.

Bilamana pengaruh China sangat kuat dan kita tidak boleh lari darinya, menidakkan kepentingan China tempatan dan Melayu juga, terdapat satu had sebanyak mana rakyat Malaysia akan mendapat manfaat darinya.

Jadi, pelaburan China boleh dan dialu-alukan. Tetapi, rakyat Malaysia dari pelbagai bidang mesti berhati-hati dan sedar akan kemungkinan yang boleh berlaku. Terlalu banyak mengambil sesuatu adalah tidak bagus.

Kolonialisme bermula dengan ketamakan. Tetapi ia juga bermula dengan ketamakan mereka yang “boleh dijajah”, memetik kata-kata ahli filsuf Algeria Malek Ben Nabi.

China nampaknya telah membentuk lima ciri dalam “Program pemerangkapan melalui hutang”, yang ditopeng sebagai “Pelaburan Luar” terhadap negara-negara yang memilih jalan untuk bermasa dalam OBOR; pertamanya, kepimpinan mestilah korup; keduanya, institusi demokratik atau kerajaan mestilah korup atau mudah dimanipulasikan ketiganya, negara sasaran mestilah kaya dengan sumber-sumber asli; keempat, negara sasaran mestilah membutuhkan duit dengan kadar yang cepat dan banyak dan kelima, negara sasaran mestilah penting dalam kepentingan geo-politik termasuk tetapi tidak terhad kepada OBOR.

Jadi, soalan yang seterusnya ialah, adakah Malaysia telah memenuhi ciri-ciri tersebut? Sudah penuhinya ala-kadar? Sudah terlebih penuhi? Fikirkan dalam-dalam!


DATUK RAIS HUSSIN adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS