Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kubu British gamit nostalgia zaman Jepun
Diterbitkan:  Aug 29, 2017 1:02 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Peninggalan enam buah kubu British yang masih wujud di pantai Beserah di Kuantan, sedikit sebanyak membangkitkan nostalgia penduduk berhampiran akan sejarah penjajahan di Tanah Melayu.

Seorang pengkaji sejarah setempat Wan Udani Wan Ahmad, 43, berkata kubu-kubu berkenaan dipercayai dibina oleh pihak British dalam usaha mereka mempertahankan kawasan kampung itu daripada serangan tentera Jepun pada tahun 1941.

"Segalanya bermula apabila 'kod ungu' rahsia tentera Jepun berjaya dipintas oleh perisik pihak Perikatan yang membawa maklumat rancangan pendaratan Jepun di pantai timur Semenanjung.

"Dengan itu, British berusaha mengukuhkan pertahanan di sepanjang pantai berisiko termasuk di pantai Beserah iaitu dari Tanjung Pelindung Tengah hingga ke Batu Hitam sejauh lapan kilometer.

"Antara pendekatan diambil British ialah membina enam kubu jenis pillbox dengan jarak satu hingga 1.2 kilometer setiap satunya sebelum Pasukan Briged ke-22 Tentera India ditugaskan mengawalnya," katanya ketika ditemui Bernama di Kuantan, hari ini.

Wan Udani yang merupakan anak jati Kampung Beserah bagaimanapun berpendapat tindakan British itu bukanlah untuk mempertahankan Tanah Melayu tetapi lebih kepada melindungi lokasi yang berkepentingan buat mereka.

Ini kerana, difahamkan terdapat rumah rehat milik British yang dihuni oleh para pekerja mereka di Kampung Beserah, yang mana penduduk tempatan adalah sama sekali dilarang melaluinya.

"Di sini juga terdapat kilang mengetin ikan yang pertama dibina di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1936 yang mana bekalan ikan diawet di situ untuk dihantar ke Singapura bagi memenuhi keperluan British di sana," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun sangkaan pihak British bahawa Jepun akan mendarat ke pantai itu meleset apabila sekumpulan besar tentera dari negara matahari terbit itu datang dengan menunggang basikal untuk menawan Malaya.

"Rentetan itu, tiada pertempuran yang berlaku di sepanjang pantai Beserah. Sebaliknya tentera Jepun yang datang dari arah laut mendarat di Teluk Tongkang iaitu berhampiran Teluk Cempedak tanpa sebarang tentangan dan kubu yang ada di sini akhirnya terbiar," katanya.

Beliau berkata meskipun begitu, kesan peninggalan sejarah itu masih mampu mengimbau detik getir ketika negara ini dijajah dan diserang oleh kuasa luar sebelum berjaya mencapai kemerdekaan.

Wan Udani menambah selain kubu, masih terdapat kolam air dibina oleh British di Hutan Lipur Beserah yang menjadi lokasi orang Melayu melarikan diri ketika perang dunia kedua.

"Bom pada era itu juga banyak dijumpai oleh penduduk di dalam Tasik Pelindung di kampung ini. Difahamkan terdapat peristiwa membabitkan pihak komunis pada tahun 1946 yang sukar dilupakan penduduk setempat antaranya dua kes pembunuhan mengorbankan empat nyawa di kampung ini," katanya.

Beliau berkata menjelang Hari Kebangsaan tahun ini, semua rakyat khususnya golongan muda diharap lebih peka dengan persekitaran yang banyak meninggalkan warisan sejarah di samping prihatin dengan peristiwa lampau di tempat mereka.

"Erti merdeka itu amat bermakna jika kita mengetahui sejarah sendiri terutama kesedaran bahawa negara ini pernah dijajah dan ranjau yang dilalui orang dahulu untuk mengecapi kemerdekaan.

"Saya juga berpegang kepada prinsip iaitu kita perlu belajar sejarah agar sejarah itu 'tidak mengajar' kita kelak, ini kerana jika kita alpa, sejarah yang pernah berlaku itu boleh berulang," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS