Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bekas timbalan gabenor minta ubah suai penyata kewangan'

Seorang bekas pengurus akaun Jabatan Akaun Negara mendakwa pernah diarahkan oleh bekas timbalan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Datuk Dr Lin See Yan supaya membuat pengubahsuaian dalam penyata kewangan tahunan bank pusat itu.

Perkara itu didedahkan oleh saksi ketiga, Saleha Lajim ketika sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan skandal tukaran wang asing (RCI) yang berlaku pada sekitar 1990-an.

Saleha yang berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 1986 berkata, urusniaga forex dinyatakan dalam penyata kewangan tahunan, namun pada 1993 ia dikategorikan sebagai perbelanjaan tertunda (Deffered Expenditure).

"Sehingga penyata kewangan tahunan tahun 1993, saya tidak ingat berapakh jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh Bank Negara Malaysia dari aktiviti tersebut, tetapi jumlah yang agak besar," katanya.

Menurutnya, pihak atasan ketika itu mengetahui mengenai status untung rugi aktiviti forex yang dijalankan berdasarkan laporan mingguan yang diberikan semasa mesyuarat.

"Dalam mesyuarat itu juga timbalan gabenor telah memberikan arahan lisan kepada saya untuk membuat pengubahsuaian pada penyata kewangan tahunan yang akan dikeluarkan.

"Atas arahan lisan itu, saya telah memberikan arahan kepada kakitangan Jabatan Akaun untuk membuat pengubahsuaian sebagaimana arahan," katanya.

Saleha menamakan pada masa itu Gabenor Bank Negara ialah Tan Sri Datuk Jaffar Hussien dan kemudian Tan Sri Ahmad Mohamad Don, manakala Lim See Yan sebagai timbalan.

Terdahulu, Hanif Khatri Abdulla, peguam kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menarik balik kesimpulan dibuat pada persidangan hari pertama RCI.

Hanif berkata Sidek membuat kesimpulan bahawa jumlah kerugian akibat urus niaga jabatan forex BNM dari 1991 hingga 1994 ialah RM31.516 bilion. Haniff berkata kesimpulan yang dibuat minggu lalu itu adalah pramatang kerana diisytiharkan tanpa memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Kami gesa pengerusi tarik balik kesimpulan yang diumumkan bagi memastikan maruah suruhanjaya ini dipertahankan,” kata Haniff.

Bagaimanapun, Mohd Sidek menolak gesaan untuk menarik balik 'kesimpulannya' dan meneruskan prosiding.

RCI forex sebelum ditubuhkan untuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian Bank Negara disebabkan spekulasi pertukaran mata wang dan sama ada ia bercanggah dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain. Suruhanjaya itu juga menyiasat sama ada wujud cubaan untuk menutup kerugian itu daripada pengetahuan umum.

Lihat Komen
ADS