Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Gabenor terkejut, kerajaan tak percaya rugi besar'

RCI FOREX Saksi kesebelas prosiding hari keempat bagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dan urus niaga mata wang asing (Forex), Liew Siew Kuan memberitahu terdapat 'kerugian besar' dalam aktiviti berkenaan sekitar 1990-an.

Liew yang juga pembantu khas kepada Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein diminta untuk memeriksa akaun bank pusat itu.

"Saya tidak ingat tahunnya tetapi (gabenor BNM) Jaafar Hussein memberitahu saya untuk melihat akaun BNM.

"Terdapat kerugian besar yang dialami BNM daripada urus niaga forex dan gabenor memberitahu saya memeriksa semua akaun itu," kata Liew.

Liew kemudiannya bertindak memaklumkan hal kerugian itu kepada kerajaan, bagaimanapun beliau memaklumkan 'kerajaan tidak percaya kerugian sebanyak itu'.

Liew berkata Jaafar 'terkejut' dengan hal kerugian itu yang dianggarkan sekitar RM9 bilion.

"Beliau terkejut. Saya beritahu beliau saya hanya melaporkan kepadanya kerana tidak ada orang lain yang laporkan, jadi beliau boleh ambil tindakan.

"Ia benar-benar kira-kira RM9 bilion. Gabenor itu berkata ‘Boleh awak tolong saya?’ Dan saya tanya mengapa?”

Memetik kenyataan Jaafar, Siew berkata beliau diminta memaklumkan hal berkenaan kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin supaya reputasi negara dapat diselamatkan.

"Beliau kemudiannya kata, ‘Tolong beritahu ketua audit’. Jadi saya jumpa Ishak dan beritahu beliau, ‘Saya rasa kita kerugian besar dalam BNM. Dan saya rasa ia kira-kira RM9 bilion.

“Gabenor minta saya ke sini dan beritahu mengenainya. Untuk selamatkan reputasi Malaysia. Selamatkan negara’," katanya lagi.

Prosiding RCI berkenaan kerugian BNM dalam aktiviti forex diteruskan pada hari ini dengan tiga saksi dipanggil.

Prosiding ini diadakan di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya selama 10 hari, dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Turut menganggotainya ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon, ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

RCI ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal yang berlaku pada 1990-an bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri kewangan ketika itu.

Lihat Komen
ADS