Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar tak puas hati, Bank Negara tak beritahu Dr M'

Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau tidak berpuas hati apabila mengetahui kerugian Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing (Forex), kata bekas timbalan gabenor Bank Negara Tan Sri Lin See Yan.

"Jika ingatan saya berfungsi dengan baik, saya dipanggil oleh Anwar selepas bercakap dengan Tan Sri Jaafar Hussein (gabenor Bank Negara) dan selepas memberitahu saya bahawa dia telah membincangkan kerugian dengan menteri kewangan.

"Bagaimanapun Saya tidak dapat ingat dengan tepat tarikh saya berbincang dengan menteri.

"Anwar adalah yang paling tidak berpuas hati dengan kerugian yang berlaku, dan bersetuju dengan saya bahawa apa jua open position yang masih ada harus ditutup secepat mungkin," katanya semasa memberi keterangan dalam prosiding suruhanjaya siasatan diraja (RCI) di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Lin turut memaklumkan walaupun Anwar dan Jaafar mengetahui kerugian itu, beliau menjelaskan tiada permintaan untuk dirinya memaklumkan hal itu kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pada bila-bila masa saya tidak diminta untuk membincangkan kerugian forex yang ditanggung oleh Bank Negara Malaysia dengan perdana menteri.

"Saya tidak tahu sama ada orang lain memberitahu perdana menteri mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung oleh Bank Negara," katanya.

Awal Februari lalu, bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bank pusat rugi AS$10 bilion (RM44 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal 90-an.

Bagaimanapun nilai kerugian itu masih dipertikaikan kerana ada dakwaan mengatakan ia bukanlah kerugian sebenar.

Prosiding hari ini merupakan sesi keempat RCI bagi menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

Kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Mahathir, sementara Anwar merupakan menteri kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.

Lihat Komen
ADS