Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Berikut saya sertakan jadual pengiraan penuh untuk menganggarkan harga RON95 yang akan berkuatkuasa bermula tengah malam ini berdasarkan perkara-perkara berikut:

  • Semakan harga mingguan sejak tiga bulan lalu menunjukkan harga rujukan MOPS95 yang digunakan kerajaan untuk mengira harga RON95 adalah bagi dua minggu sebelum (bermakna bagi minggu berkuat kuasa 31 Ogos ke 6 September, harga rujukan MOPS diambil dari laporan bagi minggu 14 Ogos ke 20 Ogos).
     
  • Jadual di bawah dibangunkan untuk menyesuaikan kiraan dengan laporan MOPS95 mengikut minggu seperti yang diterbitkan Institut Petroleum Australia, satu-satunya (setakat ini) sumber awam yang menerbitkan harga mingguan MOPS95. Besar kemungkinan kerajaan menggunakan laporan MOPS95 yang dibeli khusus dan menunjukkan harga harian.
     
  • Oleh itu ada sedikit perbezaan di antara harga yang dianggarkan mengikut jadual ini berbanding yang dikira mengikut harga rujukan harian MOPS95 bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan keadaan semasa harga minyak mentah dunia, harga petrol RON95 yang didagangkan di Singapura yang menjadi harga rujukan dalam formula kerajaan dan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan mata wang lain, saya menganggarkan harga RON95 sepatutnya kekal pada harga RM2.15 seliter untuk seminggu akan datang.

Ini bermakna, ini minggu ketiga berturut-turut harga RON95 ditetapkan pada harga RM2.15 seliter, iaitu satu harga yang mahal berbanding harga-harga sebelum ini.

Ia juga mengesahkan amaran saya sebelum ini bahawa harga petrol dan diesel akan kekal pada harga yang tinggi berbanding sebelum ini sekiranya pentadbiran Datuk Seri Najib masih berdegil untuk tidak memperkenalkan harga siling dan mengembalikan subsidi.

Antara minggu pertama April 2017 (iaitu minggu pertama harga disemak secara mingguan) sehingga kini, harga RON95 sebenarnya hanya turun sebanyak enam kali sedangkan dinaikkan sebanyak 12 kali dan kekal pada harga yang sama sebanyak tiga kali.

Melihatkan maklumat pasaran mengenai harga minyak mentah dunia (Brent) dan nilai mata wang ringgit berbanding dollar seperti bawah (sumber Bloomberg), saya telah menyatakan sebelum ini bahawa keadaan harga yang kekal di paras tersebut bermakna rakyat akan terus membayar petrol dan diesel pada kadar sekarang untuk tempoh yang akan datang.

Mata wang Ringgit telah jatuh nilai ke paras sekarang yang kekal begitu sejak beberapa bulan lalu

Walaupun harga minyak mentah dunia telah jatuh kepada separuh harganya sebelum 2015, rakyat Malaysia membayar harga RON95 yang lebih tinggi berbanding sebelum ini

Ini tidak adil kerana harga minyak mentah sebenarnya telah jatuh lebih dari separuh daripada nilainya sebelum 2015, iaitu dari sekitar AS$110 setong kepada sekitar AS$50 setong daripada awal 2017 hingga kini.

Sebaliknya, harga RON95 yang dibayar oleh rakyat bukannya berkurangan satu kali ganda seperti yang sepatutnya, ia telah naik dari RM2.10 (purata 2014) kepada RM2.15 seliter sekarang disebabkan kejatuhan nilai mata wang ringgit dan penghapusan subsidi.

Kedua-duanya berpunca daripada kelemahan pentadbiran Najib.

Paling mengecewakan, sedang Najib memekakkan telinga kepada tuntutan untuk mengembalikan subsidi agar harga petrol dan diesel melambangkan kejatuhan harga minyak mentah dunia (iaitu perlu ada penurunan harga sekarang berbanding harga 2014 kerana harga minyak mentah telah susut separuh), kita dikejutkan dengan pengumuman bahawa Putrajaya akan mendapat tambahan dividen dari Petronas sebanyak RM3 bilion lagi untuk dibelanjakan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini.

Dividen tambahan RM3 bilion bagi tempoh yang pendek, jika dibelanjakan bagi perkara-perkara lain yang tidak sampai terus kepada rakyat, adalah penghinaan kepada rakyat yang memerlukan bantuan segera untuk menstabilkan harga minyak.

Tambahan lagi, saya telah menunjukkan sebelum ini bagaimana jumlah subsidi yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun (pada harga minyak mentah sekarang dan tukaran Ringgit sekarang) adalah sekitar RM5 bilion ke RM6 bilion (bergantung kepada berapa kuota bulanan RON95 dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan) sahaja untuk menstabilkan RON95 pada harga RM1.80 seliter.

Maknanya jumlah dividen tambahan RM3 bilion ini, jika dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi minyak yang tertakluk kepada kuota penggunaan maksimum bulanan, mencukupi untuk menurunkan harga RON95 kepada RM1.80 seliter sahaja.

Saya akan terus memantau bagaimana wang rakyat dari hasil minyak dibelanjakan oleh pentadbiran Najib, tetapi rakyat perlu menerima kenyataan bahawa selagi kerajaan Umno/BN tidak diturunkan, harga RON95 akan kekal pada harga sekarang walaupun sebenarnya harga minyak mentah dunia kini telah susut hampir 50 peratus daripada harga 2014.


RAFIZI RAMLI anggota parlimen Pandan merangkap naib presiden PKR.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS