Paling Popular
Terkini

Ketika sebahagian besar parti pembangkang melihat PAS bakal berdepan malapetaka apabila kekal enggan memihak kepada mana-mana gabungan, ada pihak berpendapat parti itu memang bijak merangka strategi.

Dengan tindakan berdiam diri dan tidak membuat keputusan sama ada menyertai BN mahupun Pakatan Harapan (HARAPAN), penganalisis berkata, ia membuka peluang lebih besar buat PAS mencaturkan langkah yang menguntungkannya.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan, berkata PAS ada peluang lebih besar untuk memilih pihak mana yang lebih menguntungkan mereka bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kalau saya ahli strategi PAS, saya akan kekal dalam keadaan sekarang - bersendirian dan biar peluang terbuka, lihat yang mana menguntungkan. Yang penting (PAS) nak menang.

“Kalau saya pucuk pimpinan PAS saya akan lihat keadaan dulu.

"Dalam keadaan sekarang PAS berada dalam keadaan betul, dia senyap dan lihat mana peluang yang besar.

"Nanti apabila dia lihat (keadaan sesuai) mana dia nak lompat, dia akan lompat,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad yang juga Pengarah Pusat Pengajian Pengurusan Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa UPNM berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian sebahagian pemimpin PKR cuba memujuk PAS bersama pembangkang lain menghadapi BN pada PRU ke-14.

Namun PAS terus dilihat bertegas - dan sesekali mengeluarkan kenyataan berbentuk tamparan - kerana enggan menerima PKR.

Perkiraan diam-diam

Mengulas lanjut, pakar Pengajian Undang-undang Antarabangsa dan Pengajian Strategi itu berkata PAS juga seakan-akan cuba bermain tarik tali dalam isu mahu bekerjasama dengan Umno.

Keadaan itu, katanya, berlangsung tanpa PAS mengeluarkan kenyataan khusus mengenainya.

Ahmad Ghazali berkata sekiranya PAS menyertai HARAPAN, peluang pembangkang untuk menang memang lebih cerah memandangkan parti Islam itu mempunyai undi yang besar.

“Tidak ada yang mustahil dalam politik.

"Apa yang dilakukan oleh PKR bukan perkara baru, strategi HARAPAN begitulah.

"Kalau mereka dapat berbaik dengan PAS ia adalah perkara yang baik kerana dapat sokongan yang banyak," katanya.

Bagaimanapun katanya PAS sedang mungkin sedang buat perkiraan dalam diam-diam sama ada mahu berbaik dengan HARAPAN atau BN.

"Kalau kita nak tengok dari segi strategi politik, itu memang tindakan rasional,” katanya.

Ketepi ego

Penganalisis politik Dr Mohd Atory Hussain pula berkata, PAS seharusnya membuat keputusan muktamad secepat mungkin sama ada mahu menyertai HARAPAN, BN atau bersendirian memandangkan PRU ke-14 makin hampir.

“Banyak pilihan dia boleh buat, cuma pilih satu sahaja sebelum PRU ke-14,” kata bekas Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Sekiranya PAS mahu berbaik dengan PKR, katanya, parti itu tidak seharusnya meletakkan pelbagai syarat seperti menolak sebarang hubungan dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

“Tindakan berbaik dengan PAS menguntungkan PKR namun secara praktikalnya sukar untuk dilaksanakan kerana syarat-syarat PAS banyak.

“Sebab PAS akan minta PKR jangan berkawan dengan AMANAH dan DAP, jadi rumit sangat. Jadi macam mana senario politik Malaysia ini jangan letak banyak syarat,” katanya.

Mohd Atory turut berkata, PAS harus membuat keputusan dengan mengetepikan egonya sekiranya mahu menyertai HARAPAN.

“Saya nampak HARAPAN juga dah terdesak nak meyakinkan rakyat daripada melayan flip flop pemimpin PAS. PAS kena pilih satu pihak sahaja.

“Kalau PAS nak masuk HARAPAN, dia kena bagi tahu kerusi mana dia nak, berunding. Takkan lah tak dapat kerusi,” katanya.

Lihat Komen
ADS