Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 penjuru bantu BN raih majoriti mutlak parlimen

Dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) secara rasminya menutup pintu kerjasama dengan PAS, penganalisis politik berkata BN berpeluang mendapatkan semula dua per tiga majoriti parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut penganalisis politik, ini kerana undi pembangkang akan dipecahkan melalui pertembungan tiga penjuru.

BN yang kini menguasai 134 daripada 222 kerusi parlimen, hanya memerlukan 14 kerusi tamabahan untuk memenangi semula dua per tiga majoriti daripada 148 kerusi.

Dalam senario yang menyaksikan BN, HARAPAN dan PAS bertembung tiga penjuru, kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang dengan majoriti kecil yang kurang daripada 3,000 undi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 dengan mudah jatuh ke tangan ke BN.

“Perkara ini sangat mungkin terjadi di kerusi majoritu Melayu dan kerusi campuran,” kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan & Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Pertembungan tiga penjuru akan menyebabkan HARAPAN hilang undi yang diraih oleh PAS, sementara parti itu akan hilang sejumlah undi bukan Melayu, kata Mustafa.

Berdasarkan keputusan PRU ke-13 menunjukkan pembangkang memenangi 16 kerusi dengan majoriti kecil yang kurang daripada 3,000 undi. Tiga belas daripada 16 kerusi itu adalah kerusi Melayu dan kerusi campuran.

Peluang cerah BN

PKR memegang lima daripada 16 kerusi berkenaan: Alor Setar, Lembah Pantai, Batu Pahat, Telok Kemang dan Sungai Siput (yang turut ditandingi PSM dengan tiket PKR).

DAP pula memegang empat kerusi berkenaan: Raub, Sarikei, Sibu, dan Sandakan. Hanya Raub yang merupakan kerusi campuran, dengan 50 peratus majoriti Melayu. Selebihnya adalah kerusi Cina atau kerusi campuran dengan majoriti Cina.

Sementara Parti Amanah Negara (AMANAH) memegang dua kerusi yang dimaksudkan – Kuala Krai dan Sepang. Dalam masa sama PAS menguasai lima kerusi seumpamanya: Bachok, Kuala Nerus, Bukit Gantang, Temerloh dan Pasir Puteh.

Mustafa juga berkata, pengundi Cina masih lagi berdiri teguh di belakang DAP sementara pengundi di Sabah dan Sarawak masih menyokong BN.

Jika MCA, Gerakan dan MIC gagal meraih undi bukan Melayu, katanya, peluang BN untuk memenangi semula dua per tiga majoriti parlimen akan terjejas.

Beliau berkata Presiden Parti warisan Sabah Shafie Apdal, yang keluar Umno pada Julai 2016, tidak akan beri kesan ketara di Sabah.

“Pengaruh beliau terhad di pantai timur negeri itu, terutama di kawasannya di Semporna. Beliau mungkin mempunyai pengaruh di dua atau tiga lagi kerusi.

“Shafie mungkin mendapat sokongan pengundi Cina ekoran hubungannya dengan DAP, namun beliau tidak popular di kalangan komuniti Kadazandusun kerana mempunyai sejarah dengan Usno (United Sabah National Organisation),” katanya.

Shafie memulakan kerjaya politik di Usno, sebuah parti yang memerintah Sabah dari 1967 sehingga 1975. Parti itu dibubarkan pada 1995 dan Umno Sabah kebanyakannya terdiri daripada bekas pemimpin Usno.

Tsunami Melayu

“Sarawak agak selamat untuk BN kerana faktor Adenan Satem masih dirasakan dan penerusnya, Abang Johari Abang Openg melakukan tugas yang baik,” kata Mustafa.

Bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mustafa berkata parti itu yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kemungkinan hanya memberi pengaruh di Kedah.

Walaupun bersetuju Parti Warisan Sabah dan BERSATU mungkin menyebabkan pertukaran undi di kalangan penyokong BN kepada pembangkang, beliau berkata pertukaran undi itu tidak cukup untuk mengimbangi kesan daripada pertembungan tiga penjuru

Sependapat dalam hal ini, penganalisis politik Tang Ah Chai berkata Mahathir dan kumpulannya mengadakan jelajah seluruh negara selepas BERSATU ditubuhkan pada September 2016.

“Jika dibandingkan dengan reformasi Anwar Ibrahim, yang menarik golongan profesional, elit dan pelajar, Mahathir menyasarkan golongan akar umbi Melayu dan penduduk Felda,” kata Tang (gambar).

“Beliau cuba mewujudkan tsunami Melayu di kawasan ini, tapi saya masih tidak merasakan melihat hasilnya.

“Tsunami Melayu menjadi perdebatan hangat di kalangan ahli politik Melayu. Anda dapat lihat BN sangat berhati-hati... dan BN sediakan ganjaran (insentif sebanyak RM1.6 bilion) kepada penduduk Felda (pada 23 Julai),” katanya.

Tang berkata, perpecahan dalaman PKR akibat percanggahan pendapat tentang kerjasama dengan PAS adalah sesuatu yang PKR, dan anggota HARAPAN dan PAS perlu selesaikan sebelum pilihan raya.

“BN akan memperoleh manfaat jika pembangkang terus berpecah,” katanya dan menambah, pertembungan tiga penjuru antara BN, HARAPAN dan PAS dan pergeseran dalaman pembangkang akan memudahkan BN memenangi semula dua per tiga majoritu parlimen dalam PRU akan datang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS