Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Label vape salah lapor jumlah nikotin dalam cecair'
Diterbitkan:  Sep 1, 2017 8:54 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Label yang dilekatkan ke atas botol cecair rokok elektonik atau vape (ECV) didapati salah lapor jumlah kandungan nikotinnya, menurut laporan yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Walaupun tidak berbahaya, nikotin merupakan bahan ketagihan yang diletakkan di bawah senarai racun dalam Akta Racun 1952.

Ia juga merupakan bahan kawalan undang-undang.

“Daripada 81 sampel cecair ECV yang dianalisa didapati terdapat sampel cecair ECV tidak mempunyai label tetapi didapati mengandungi nikotin.

"Terdapat sampel cecair ECV dilabelkan mengandungi kandungan nikotin sifar pada bekas ECV, tetapi didapati mengandungi nikotin.

Terdapat sampel yang mengandungi tahap nikotin yang lebih tinggi daripada tahap yang dinyatakan pada label,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis parlimen kepada anggota parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang bertanyakan berkenaan kajian terhadap ECV.

Terdapat juga sampel yang mengandungi kurang nikotin daripada yang dilabelkan, kata kementerian itu lagi.

Dapatan ini daripada dua kajian yang dijalankan kementerian itu pada 2016.

Bahan-bahan lain yang ditemukan dalam cecair ECV ialah propylene glycol (PG), glycerine sayuran (VG), volatile organic compounds (VOC).

Bahan-bahan logam berat seperti chromium dan cadmium juga ditemukan dalam wap asap ECV yang dianalisa.

Kementerian itu turut melaporkan penurunan rampasan botol cecair ECV yang mengandungi nikotin.

Pada 2015, sebanyak 4,348 unit dirampas sementara pada 2016, cuma 230 sahaja dirampas. Dalam enam bulan pertama tahun ini hanya 93 unit yang dirampas.

Perbincangan tentang ECV yang dikenali sebagai 'vape' bermula pada awal tahun lalu apabila beberapa negeri menimbangkan untuk meletakkan bahan tersebut di bawah aturan undang-undang.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuat pengumuman mengharamkan vape di negeri itu. Pihak berkuasa Negeri Sembilan pula mengharamkan vape untuk orang Islam.

Manakala Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan alatan tersebut sebagai haram.

Bulan Disember tahun 2016 lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) mengumumkan kesemua peralatan vape perlu disahkan selamat oleh agensi piawaian Sirim sebelum diedarkan.

Lihat Komen
ADS