Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hampir 40 ribu Rohingya lari ke Bangladesh
Diterbitkan:  Sep 1, 2017 11:44 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

GLOBAL| Hampir 40,000 orang Rohingya bergama Islam telah melarikan diri ke negara jiran Bangladesh sejak keganasan meletus di negeri Arakan, Myanmar menurut jangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi berita BBC.

Menurut laporan BBC itu, ramai yang telah terkorban sejak militan Rohingya menyerang pos polis pada 25 Ogos lalu.

"Pertempuran berterusan telah menyebabkan warga daripada semua komuniti melarikan diri. Ramai orang Rohingya cuba menyeberangi sungai Naf untuk sampai ke Bangladesh.

"Pada hari jumaat, 16 lagi mayat ditemui terdampar di tebing sungai. Mayat yang dijumpai itu membawakan angka mangsa yang meninggal akibat bot karam mencecah seramai 40 orang," kata BBC.

Para pegawai PBB di Bangladesh berkata seramai 38,000 orang telah menyeberangi sempadan.

Ribuan lagi orang sedang menunggu untuk menyeberangi sempadan, kata laporan BBC itu lagi.

Militan Arsa

Laporan Reuters yang memetik sumber tentera pula berkata kira-kira 400 orang terbunuh sejak serangan minggu lalu.

Khamis lalu, Duta Amerika Syarikat ke PBB Nikki Haley dilaporkan media berkata pasukan keselamatan bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antara bangsa yang termasuk, "tidak menyerang orang awam yang tidak bersalah dan para pekerja kemanusiaan serta memastikan bantuan diberikan kepada pihak yang memerlukan."

Arakan, negeri termiskini di Myanmar merupakan tempat tinggal kepada lebih sejuta orang Rohingya.

Mereka berdepan dengan tekanan dan diskriminasi di dalam Myanmar berdekad-dekad lamanya, yang mana Rohingya tidak diiktiraf sebagai warga negara.

Keganasan terkini merupakan yang paling penting sejak Oktober 2016 apabila sembilan orang polis mati dalam serangan ke atas pos sempadan.

Menurut laporan BBC lagi kedua-dua serangan pada Oktober 2016 dan 25 Ogos 2017 ini dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Arakan Rohingya Salvation Army (Arsa).

"Ia dikatakan bertujuan melindungi warga Rohingya beragama Islam daripada penindasan kerajaan Myanmar.

"Pihak kerajaan berkata ia (Arsa) ialah kumpulan pengganas," kata BBC.

PBB sedang menjalankan siasatan rasmi, walaupun tentera Myanmar menafikan sebarang salah laku, lapor BBC lagi.

Lihat Komen
ADS