Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dulu negara ada semak dan imbang yang lebih baik'

Negara punya institusi yang lebih baik dan memiliki lebih kebebasan pada 'zaman awalnya' ketika ia dipimpin golongan penguasa yang tidak menyalahgunakan kuasa mereka, kata Tunku Zain al-Abidin Tunku Muhriz, presiden Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas).

"Saya fikir sangat penting untuk mengenal pasti golongan elit yang menyalahgunakan instrumen dan jentera kerajaan untuk memperkaya diri mereka.

"Saya kira jika melihat kembali pada sejarah, saya fikir kita akan bersetuju pada zaman awalnya, ketika kita dipimpin oleh golongan elit (yang tidak berhasrat untuk memperkaya diri mereka), kita memiliki semak dan imbang yang lebih baik, kepimpinan yang lebih baik, intitusi yang lebih baik. Kita memiliki kebebasan yang lebih," kata beliau.

Beliau bercakap dalam panel perbincangan berjudul 'How to manage pluralism and identity politics in democracies’ pada suatu sidang mengenai demokrasi di Asia Tenggara di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelumnya, beliau berkata Asean tidak boleh terus dipimpin oleh golongan elit politik dan birokrat.

"Satu-satunya cara kita dapat mengatasi kekurangan demokratik ini dengan menggalakkan kesemua komuniti, terutamanya anak-anak muda untuk mengambil kepemilikan dalam agenda Asean (dan) menyemainya dengan keluhuran undang-undang dan hak asasi manusia.

"Inilah satu-satunya cara kita dapat mengatasi percambahan politik identiti," kata beliau.

Hal ini menurut beliau kerana 'para aktor politik' di setiap negara akan mengekploitasi perbezaan bagi manfaat pilihan raya, seperti perbezaan dalam kaum, agama, bahasa, kelas, kasta, rantau geografi dan jurang usia antara generasi.

Beliau juga memberi amaran kegagalan untuk menangani isu-isu ini akan terpercik memberi kesan ke negara-negara jiran.

Namun, beliau juga berkata 'golongan elit ini' memiliki tanggung jawab dalam demokrasi juga.

"Mereka mengambil berat tentang kebebasan, mereka mahu menjaga peluang buat anak-anak mereka juga," kata beliau.

Lihat Komen
ADS