Pengerusi PKR Perlis Mohamad Faisol Abd Rahman ingin bertemu ketua Polis Negara (IGP) baru, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kes penculikan paderi Raymond Koh, serta 3 lagi yang hilang.
Tiga individu itu ialah aktivis Perlis Amri Che Mat, paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Hilmi.
Mohamad Faisol yang juga merupakan jurucakap keluarga Amri berkata, ini kerana sehingga hari ini belum ada perkembangan positif daripada siasatan polis, walaupun difahamkan ada beberapa tangkapan dibuat.
"Saya ingin mendapat penjelasan tentang status terkini, serta kenyataan bekas IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tangkapan telah dibuat di utara Malaysia dan penglibatan kumpulan penyeludup di sempadan Thailand," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Khalid pada Julai lalu mengaitkan kehilangan Koh dengan sebuah kumpulan di Selatan Thailand, tetapi tidak menjelaskan sama ada ia adalah kumpulan pengganas atau jenayah.
Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, manakala Amri, Joshua dan Ruth dilaporkan hilang sejak November lalu.
Merujuk kepada Amri, Faisol mendakwa setakat ini polis tidak berjumpa dengan pihak mereka bagi memberikan penjelasan dan status siasatan.
"Pihak keluarga amat bimbang dengan nasib yang menimpa Amri...apakah PDRM masih menganggap kes ini sebagai kehilangan biasa?" soalnya.
Amri tidak pulang ke rumahnya di Kangar pada 25 November lalu. Setakat ini, 2 laporan polis dibuat oleh isterinya, Norhayati Mohd Ariffin bertarikh 25 November dan 8 Disember 2016.
Laporan media menyatakan pacuan 4 roda Toyota Fortuner ditemui pada hari kehilangannya di Bukit Chabang, Perlis, dengan cermin kiri, kanan dan belakang pecah.
Sebaik sahaja Fuzi dilantik sebagai IGP baru semalam, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menggesanya memberi perhatian bagi menyelesaikan kes kehilangan 4 individu itu.
