Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM minta AG heret Lim ke mahkamah
Diterbitkan:  Sep 5, 2017 3:28 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan memohon maaf berhubung kenyataan bahawa penahanan exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh sebagai ‘haram’.

SPRM dalam satu kenyataan, berkata, keputusan telah dibuat kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tindakan selanjutnya.

“Pengurusan Tertinggi SPRM telah secara sebulat suara memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Lim yang enggan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya bahawa penahanan Phee sebagai ‘penahanan haram oleh SPRM’ walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk berbuat demikian.

“Ingin juga ditegaskan, SPRM menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk
mengkritik tetapi tidak akan sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan
kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dengan
tujuan mencemarkan serta menjejaskan imej dan reputasi SPRM.

“SPRM tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana siasatan dan akan menyiasat setiap kes
tanpa mengambil kira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, tempoh 48 jam yang diberikan kepada Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP, tiga hari lalu telah pun berakhir.

Katanya, SPRM akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Lim pada sidang akhbarnya sebelum ini dilaporkan berkata suruhanjaya tersebut menahan Phee secara tidak sah berhubung siasatan ke atas sebuah kilang haram di Bukit Mertajam.

SPRM menahan Phee pada 10 Ogos lalu kerana menulis surat yang menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya tidak bertindak terhadap sebuah kilang penapis karbon yang beroperasi secara tidak sah.

Suruhanjaya itu turut menyerbu kilang, pejabat MPSP dan pejabat Phee di Komtar, pusat khidmatnya di Sungai Puyu dan rumah pemimpin DAP tersebut di Butterworth dan merampas dokumen yang berkaitan dengan kilang berkenaan.

SPRM merancang untuk menahan Phee selama lima hari untuk membantu siasatan tetapi beliau kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

SPRM bagaimanapun berkata, Mahkamah Tinggi, dalam memerintahkan pembebasan Phee, tidak menyatakan bahawa penangkapan itu adalah menyalahi undang-undang, dan berkata, mereka akan membuat rayuan serta sebarang komen mengenai penangkapan itu boleh dianggap sebagai sub judis dan penghinaan terhadap mahkamah.

Lihat Komen
ADS