Paling Popular
Terkini

Pertembungan tiga penjuru antara PAS, Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN pada Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU-14) akan datang bukan salah parti itu, kata ketua penerangannya, Nasruddin Hassan.

Menurutnya, perkara itu bukan dimulakan oleh PAS memandangkan terdapat parti-parti lain yang mengisytiharkan untuk bertanding di beberapa kerusi asal milik mereka.

Malah katanya, semua pihak boleh bersetuju untuk pertembungan satu lawan satu namun realiti politik mutakhir kini dilihat sukar untuk mengelak perkara berkenaan.

“Asasnya semua orang boleh bersetuju satu lawan satu tapi realiti politik mutakhir PRU14 ini hampir sukar nak elak tiga penjuru, contohnya di Parlimen Temerloh ada satu DUN Semantan dimenangi PAS sebelum ini.

“PAS bertanding sejak dulu dan saingan BN. Apabila PAS menang, calon ini telah keluar masuk Parti Amanah Negara (AMANAH) dan sudah pastinya ia kawasan kita dan ia adalah DUN dimiliki PAS.

“Kita akan kekal bertanding berdepan dengan BN satu lawan satu, malangnya AMANAH pun nak bertanding di Semantan dengan menganggap ia calon AMANAH,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Jelasnya, memandangkan PAS kini tidak lagi mempunyai hubungan dengan HARAPAN, Nasrudin berkata parti itu berhak untuk bertanding di semua kerusi asal mereka sebelum ini termasuk Permatang Pauh.

Pembahagian kerusi

Untuk rekod, kerusi Permatang Pauh sudah ditandingi oleh PKR sejak pilihan raya umum 1999 selepas Datuk Seri Anwar dipecat daripada Umno.

Ia kekal menjadi milik - dan kubu kuat - PKR sehingga kini termasuk pada 2004 apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi satu-satunya wakil parti itu di parlimen.

Sebelum itu Permatang Pauh adalah milik BN sejak PRU 1969 kecuali PAS pernah merampasnya sekali pada 1978.

"Dari situ kita nampak wujud tiga penjuru bukan dari PAS. Tradisi kita bertanding berhadapan dengan BN.

“Apabila ada parti lain isytihar nak tanding kerusi PAS, kita ambil kira tak ada hubungan dengan HARAPAN, kita nak bertanding semula di kerusi-kerusi kita, termasuk Permatang Pauh sebab itu kerusi kita, kita tak ada kerjasama,” kata anggota parlimen Temerloh itu.

19 Julai lalu, PAS melancarkan jenteranya di Permatang Pauh bagi menghadapi PRU, malah naib presidennya Idris Ahmad turut menafikan dakwaan PKR bahawa ia adalah satu tindakan provokasi dan angkuh.

Bagi pembahagian kerusi di seluruh negara pula, Nasruddin turut memaklumkan bahawa perkara itu masih belum dimuktamadkan dan prosesnya akan selesai tidak lama lagi.

“Secara umumnya, kalau kita tak ada hubungan dengan parti lain, maka kita tidak terikat dengan mana-mana kerusi.

“PAS bukan masuk secara membuta tuli, (kerana) kita ada asas, kajian, dan sebagainya. Bukan main letak (calon) saja,” katanya.

Sementara itu Nasruddin ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Memali, berkata PAS konsisten dengan penubuhan badan siasatan itu bagi memastikan keadilan dapat diberikan kepada keluarga mangsa.

Katanya, PAS akan memberi kerjasama penuh dan saksi-saksi yang masih ada perlu dipanggil untuk memberi kenyataan mengenai insiden pada tahun 1985 itu.

“Dahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah minta masa satu jam kepada stesen-stesen penyiaran untuk menjelaskan maksud sebenar amanat beliau dan kami tak gentar untuk terus desak penubuhan RCI ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS