Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua polis negara yang baru dilantik Mohamad Fuzi Harun menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu kematian dalam tahanan polis dan rasuah di kalangan anggota polis.

“Ya, sudah tentu. Saya akan meneliti perkara ini dengan serius,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya.

Fuzi sedia maklum dengan harapan orang ramai dan meminta diberikan sedikit masa untuk meneliti keutamaannya.

“Anda perlu adil kepada saya, ini hari kedua saya bertugas. Saya akan meneliti semua hal-hal lain,” katanya.

“Saya sedia maklum dengan permintaan ini. Kami semestinya akan meneliti lebih lanjut untuk melakukan tindakan yang wajar bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai. Saya akan lebih proaktif dengan semua isu-isu ini.

“Anda perlu beri saya sedikit masa, tidak lama. Saya akan nyatakan keutamaan saya,” kata bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu.

Kenyataan Fuzi itu selepas Amnesti International Malaysia (AIM) menggesa Fuzi untuk meningkatkan akauntabiliti polis terutama dalam isu kematian dalam tahanan, penyeksaan dan layanan tidak wajar ke atas tahanan, seperti yang dilapor Free Malaysia Today.

Fuzi bagaimanapun berkata beberapa isu yang dihadapi pihak polis adalah kerana kekangan peruntukan.

“Kami sudah berhubung dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk buat pengesahan dan kami akan bekerjasama untuk melaksanakan cadangan-cadangan tertentu. Namun sesetengah cadangan itu bukan disebabkan kami (polis) tapi kerana beberapa kekangan peruntukan seperti (memasang) CCTV,” katanya.

Berhubung gesaan untuk menyelesaikan penculikan pastor Raymond Koh pada 13 Februari, Fuzi berkata siasatan sedang dijalankan.

“Kami akan periksa jika ada perkembangan terbaru,” katanya.

Beliau juga mengeyakan apabila ditanya sama ada beliau akan membuka akaun Twitter seperti bekas ketua polis negara sebelumnya Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Ya, mungkin (bekas) bos saya lagi bagus berbanding saya, tapi saya akan cuba perbaiki (kelemahan saya). Saya perlu tingkatkan kebolehan dalam hal-hal ini. Anda tidak perlu risau tentang itu,” katanya.

Khalid, yang aktif di Twitter sebelum ini pernah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat pengguna laman sosial ketika menjadi ketua polis negara dan dikritik kerana mengekang kebebasan bersuara.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS