Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l  Dalam wilayah linguistik, terdapat satu hipotesis terkenal, iaitu Sapir-Whorf. Teori ini dikemukakan oleh Edward Sapir yang kemudiannya dikembangkan oleh anak muridnya, Benjamin Whorf pada pertengahan abad kedua puluh.

Hipotesis ini menegaskan bahawa seseorang individu mengenali alam melalui bahasa pertuturannya. Whorf merangka teori ini apabila beliau mengkaji tanggapan masa daripada kedua bahasa Hopi dan Inggeris.

Jika individu ini seorang lelaki Amerika, maka dia akan mengenali alamnya melalui segala makna yang terkandung dalam bahasa Inggeris Amerika.

Sama juga sekiranya seorang individu itu seorang gadis yang lahir pada zaman purba Mesir, maka dia akan memahami kelilingnya menuruti apa yang dizahirkan oleh bahasa pada ketika itu.

Pemahaman kita hanya boleh pergi sejauh yang diizinkan oleh batas bahasa kita sendiri.

Berangkat daripada hipotesis mudah ini saya ingin mengkritik sesuatu yang saya kira amat membimbangkan dalam trend Malaysia dasawarsa ini.

Sebagai seorang wanita Melayu yang fasih dwibahasa (Melayu dan Inggeris), saya boleh memahami alam sekitar melalui apa yang disalurkan oleh kedua-dua bahasa ini.

Melalui pembacaan saya terhadap karya-karya yang ditulis oleh kedua-dua bahasa ini mentaarufkan saya kepada dua Malaysia yang sama sekali berbeza kewujudannya.

Misalnya, esok pagi dalam perjalanan anda untuk ke pejabat atau ke tempat kerja, ambil saja dua surat khabar dan bandingkan isi kandungan mereka.

Anda akan menyedari dua-dua akhbar ini menceritakan tentang Malaysia. Namun anda juga bakal menyedari bahawa apa yang mahu disampaikan tidak sama.

Pembacaan purata saya terhadap akhbar Inggeris adalah mereka sering menginklusifkan bahasa Inggeris untuk manfaat setiap warganegara tanpa mengira ras.

Bermakna, setiap cerita atau berita itu digunakan untuk menerokai sisi hidup dan kegusaran komuniti-komuniti seperti kaum Melayu, Cina, India, serta etnik-etnik lain di seluruh tana hair.

Kita difahamkan dengan masalah-masalah yang menimpa mereka serta apa yang mereka harapkan untuk negara.

Berbeza pula dengan akhbar bahasa Melayu, wahana ini lebih senang untuk bercakap hanya untuk orang Melayu semata-mata. Maka ia bersifat eksklusif.

Banyak rencana atau makalah yang dilampirkan akhbar-akhbar ini berlegar sekitar hak keistimewaan bumiputera, kepentingan bahasa nasional, kedudukan raja-raja Melayu, serta kekukuhan institusi Islam sebagai agama rasmi negara.

Pribumisasi

Kita jarang-jarang sekali membaca akhbar bahasa Melayu yang memperdebatkan wacana alam sekitar, kebajikan pekerja dan hak wanita.

Jika ada pun hanyalah sedikit sahaja jumlahnya jika mahu dibandingkan dengan topik-topik lain seperti yang dinyatakan di atas (tanpa mengabaikan struktur-struktur ini sebagai tonggak utama kemandirian alam Melayu).

Maka daripada sinilah, saya fikir, punca masalah utama yang melanda negara ini. Wacana-wacana intelektual di Malaysia hanya banyak berlegar dalam bahasa Inggeris.

Ini tak mengejutkan memandangkan banyak tulisan atau makalah memang ditulis oleh orang-orang putih daripada Barat.

Namun di sini kita jarang mendengar proses penterjemahan atau pribumisasi – lebih-lebih lagi dijalankan oleh penutur bahasa Melayu sendiri.

Malahan kebanyakan rausyanfikir, aktivis, atau pengarang di Malaysia lebih gemar menulis atau bercakap dalam bahasa Inggeris berbanding menyesuaikan pesan-pesan mereka dalam konteks tempatan.

Oleh sebab itu usaha-usaha emansipasi wanita, kebajikan buruh, alam sekitar dan lain-lain sukar mendapat tempat dalam hati masyarakat majoriti (kita harus akui bahawa bahasa Melayu masih lingua franca di rantau ini).

Idea-idea besar ini tak dapat diperkenalkan sepenuhnya kepada golongan yang memerlukan. Mereka tak arif berbahasa Inggeris. Mereka juga akan seterusnya melihat ia sebagai sesuatu yang asing, tak sesuai dengan iklim tempatan.

Kegagalan para intelektual untuk mempribumisasikan idea-idea luar inilah yang menjerumuskan negara kita ke kancah dekaden.

Ini terjadi boleh kerana dua sebab. Satu, kemalasan golongan ini dalam menterjemah dan hanya mencedok bulat-bulat idea Barat.

Dua, mereka sendiri tidak ada keupayaan untuk memahami bahasa kebangsaan ini.

Hal ini lebih menyedihkan apabila ia terjadi kepada individu-individu yang dilahirkan ‘lidah sambal’ namun bila menjejak dewasa, jadi lupa dengan asal usul sendiri.

Saya teringat kepada satu makalah yang saya baca tentang kebijaksanaan Wali Songo. Apabila mereka sampai ke Nusantara dan berimpian untuk menyebarkan syiar Islam di kalangan pribumi yang sudah biasa dengan Hindu-Buddha, mereka bersyarah dengan kebijaksaan yang jarang-jarang didapati pada ilmuwan-ilmuwan sezaman.

Mereka menyampaikan pesan-pesan Islam dalam cara ‘mesra Nusantara’.

Sebagai contoh, untuk tidak mengubah orang Melayu dengan radikal pada waktu itu, mereka tidak menukar istilah sembahyang kepada solat (meskipun sembahyang asalnya adalah sembah-yang).

Kebijaksaan Wali Songo

Sama juga dengan puasa. Mereka tidak gopoh menukarkan kepada sawm, istilah Arabnya. Mereka cuma menyesuaikan sawm ke dalam konteks yang lebih diakrabi pribumi, yakni puasa (Sanskrit: mendekatkan diri dengan tuhan).

Kebijaksaan Wali Songo mempribumikan Islamlah menjadi sebab utama bagaimana Islam boleh menyebar luas tanpa sebarang pertumpahan titik darah pun.

Andaikata mereka berdegil untuk mengekalkan istilah Arab, mahupun mereka angkuh dengan kefasihan mereka dalam bahasa Al-Quran, nescaya Islam takkan merebak di tanah ini secepat ini, seaman ini.

Sikap tidak mahu berbahasa Melayu inilah yang menyebabkan intelektualisme awam tersekat dalam bahasa asing.

Keangkuhan ini harus dikikis dan diinsafi oleh banyak orang. Martabatkanlah bahasa kebangsaan dengan mula membaca karya-karya tempatan.

Sesuaikanlah dengan konteks semasa. Lebih banyakkanlah pribumisasi, bukannya sekadar mencedok nama-nama agung Barat seperti Karl Marx, Frederich Nietzsche, Simon de Beauvoir dan Jurgen habermasuntuk kelihatan pandai.

Janganlah ditohmah kebanyakan orang Melayu yang kolot, jumud, atau tidak membaca karya-karya besar sekiranya anda sendiri terperangkap dalam keangkuhan bahasa.

Setakat ini, saya hanya melihat Gerak Budaya sahaja yang aktif dalam menjalankan peranan penterjemahan.

Saya akhiri tulisan ini dengan sebuah kata-kata daripada sutradara Iran yang terkenal Abbas Kiorastami:

“Untuk menjadi sarwajagat, anda harus berakar kepada budaya anda sendiri.”


SALMA KARTINI ialah seorang suri rumah sepenuh masa. Hobinya termasuk membaca kamus dan memelihara kebun bunga di belakang rumahnya. Beliau juga ialah seorang bekas pensyarah Fakulti Bahasa Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS