Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerana forex, saya juga berundur dari Bank Negara'

Bekas penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengakui turut bertanggungjawab dalam urus niaga pertukaran asing (forex) membawa kerugian besar pada 1990-an.

Beliau yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini juga berkata tidak pernah membincangkan soal urus niaga yang dibuat antara 1986 hingga 1993 tersebut dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak dapat dinafikan, kerugian forex berlaku. Tidak dapat dinafikan kebertanggungjawaban saya dalam perkara itu. Saya menerima 'bahagian saya' dan meletakkan jawatan daripada Bank Negara.

"Ketika itu, ia seperti pengakhiran yang menyedihkan untuk 25 tahun khidmat saya kepada negara melalui BNM," katanya yang pernah menjadi Menteri Kewangan Kedua pada 2004 hingga 2008.

Ketika sesi pendengaran minggu lalu, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Tan Sri Lin See Yan mengesahkan, Nor Mohamed ketika itu mengetuai kegiatan urus niaga dan dan melapor secara langsung kepada gabenor Tan Sri Jaffar Hussein.

Lin berkata, dia memberitahu Jaffar yang Nor Mohamed tidak boleh lagi dibenarkan terlibat dalam urus niaga.

Berikutan kerugian yang ditanggung, Nor Mohamed dan Jaffar berundur daripada jawatan masing-masing di BNM pada April 1994.

Sementara itu, Nor Mohamed mengesahkan yang beliau bertanggungjawab menjadi ketua bagi urusniaga itu pada 1986 hingga 1993.

Katanya, pihak yang terlibat menjalankan urusniaga akan membuat laporan kepada ketua, tetapi beliau tidak mampu mengingati sama ada ketua itu melapor kepadanya atau pegawai lain.

Beliau juga berkata lupa tentang had yang ditetapkan bagi mereka yang terlibat menjalani urusniaga itu.

Mengulas lanjut tentang peranannya di BNM ketika itu, Nor Mohamed berkata beliau ditugaskan untuk melaksanakan dasar pengurusan rizab luar yang diputuskan lembaga pengarah.

"Saya melapor kepada gabenor dan jawatankuasa rizab luar (ERC)" katanya.

Pengalaman berharga tangani krisis kewangan

Bekas Menteri Kewangan Kedua itu juga berkata, beliau "sangat berhati-hati" untuk tidak menjalankan urusniaga secara sendiri walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Ia sentiasa dilakukan oleh kakitangan. Saya memutuskan demikian agar ia telus, maka setiap urusniaga pasti diketahui oleh lebih daripada seorang individu," katanya.

Ketika ditanya RCI sama ada keputusan untuk BNM terlibat aktif dalam urusniaga itu dibuat olehnya, Nor Mohamed berkata ia diputuskan oleh pengurusan kanan BNM, lembaga pengarah, gabenor serta timbalan gabenor pada 1985.

"Keputusan bukan dibuat saya. Saya bukan (sebahagian daripada) pengurusan kanan. Saya hanya timbalan pengurus, dan menjadi pengurus pada 1986. Namun ketika itu, saya merasakan ia adalah keputusan yang bijak," katanya.

Menurut Nor Mohamed, Jaffar percaya mereka yang terlibat akan memperoleh "kepakaran pasaran", iaitu pengalaman, pengetahuan dan kemahiran bagi menangani sebarang krisis kewangan yang mungkin dihadapi negara pada masa akan datang.

"Dan memang, pandangan jauhnya berhubung kepakaran pasaran itu menyelamatkan negara ketika krisis kewangan Asia 1997/1998.

"Kemahiran dan pengalaman itu membolehkan negara melaksanakan pendekatan di luar kebiasaan pada September 1998," katanya.

Katanya lagi, pendekatan itu menyebabkan negara mampu berhadapan dengan pemanipulasi mata wang asing.

"Tidak seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan, Malaysia berjaya menangani krisis kewangan tanpa meminjam satu sen pun daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia mahu pun pihak lain."

Di sebalik pengakuannya turut memikul tanggungjawab dalam kerugian forex, Nor Mohamed berkata beliau diberi peluang untuk "menyumbang kepada Raja dan negara" di saat krisis kewangan Asia melanda negara.

Beliau kembali menyertai BNM sebagai penasihat pada 1998, selepas "pendekatan luar kebiasaan" itu dilaksanakan.

"Apa yang penting adalah pengalaman yang diperoleh unit forex pada tahun-tahun itu terbukti sangat berguna kemudiannya, dalam menyelamatkan Malaysia daripada kesan teruk krisis kewangan yang mampu menyebabkan negara kerugian ratusan bilion ringgit," katanya.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS