Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengarah KiniTV mohon gugur pendakwaan 'langgar perlembagaan'

Mahkamah hari ini mendengar permohonan KiniTV dan dua pengarahnya, Steven Gan dan Premesh Chandran, untuk menggugurkan tuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan asas ia bertentangan dengan perlembagaan.

Mereka menegaskan seksyen tersebut, yang menggariskan bahan terbitan di internet yang dianggap jelik dan berniat menyakitkan hati orang lain sebagai jenayah, bertentangan dengan Perkara 5, 8, dan 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada wartawan melaporkan apa yang diucapkan ahli politik.

Perkara 5 adalah berhubung kebebasan individu, Perkara 8 tentang hak sama rata dan Artikel 10(1)(a) pula tentang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Dalam afidavit sokongannya, Gan berkata Seksyen 233(1)(a) adalah perundangan yang bertentangan dengan kepentingan negara kerana ia mencabuli hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10(2)(a) perlembagaan.

"Maka tindakan memfailkan tuduhan terhadap kami adalah bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Peguam Negara untuk merangka tuduhan bertentangan dengan Seksyen 3(3) Akta SKMM, yang menghalang sebarang bentuk tapisan di internet, dan (seksyen itu juga) bertentangan dengan Seksyen 233 akta sama," katanya.

Gan yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini dalam afidavitnya turut mendakwa, tuduhan itu bersifat mala fide (niat jahat) kerana portal berita itu sentiasa mempunyai hubungan baik dengan SKMM dalam memastikan posting dan komen yang melampau dipadam.

Beliau didakwa tahun lalu, manakala Premesh awal tahun ini, selaku pengarah KiniTV kerana menyiarkan video "jelik" sidang media bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bertajuk "Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan".

Video itu disiarkan di kedua-dua seksyen bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris di KiniTV pada 27 Julai tahun lalu.

Sesi pendengaran bagi permohonan pengguguran itu ditetapkan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Datuk Azman Abdullah.

Peguam K Shanmuga memberitahu mahkamah yang mereka dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya Mohd Sophian Zakaria bahawa artis grafik Fahmi Reza turut membuat permohonan sama.

"Pendengaran kes Fahmi Reza ditetapkan pada 31 Ogos ini, dan saya yakin keputusannya akan mempengaruhi dan membantu mahkamah dalam membuat keputusan.

"Maka kami meminta tarikh pendengaran untuk notis permohonan ditangguhkan sementara menunggu keputusan kes itu," katanya.

Hakim membenarkan penangguhan itu.

Beliau juga membenarkan permohonan Shanmuga untuk menangguh sesi pendengaran di Mahkamah Sesyen, yang pada mulanya ditetapkan pada 10 dan 13 Oktober.

"Ini agar mahkamah tidak membuang masa mendengar pendengaran tuduhan," katanya.

Hakim kemudian turut membenarkan pendengaran di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Lihat Komen
ADS