Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramon: Pelantikan Khalid di Prasarana cepat sangat

Pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad telah menarik perhatian beberapa pihak, terutamanya berhubung pengalaman beliau dalam sektor pengangkutan awam.

Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata walaupun bukan sesuatu yang luar biasa bagi penjawat awam dilantik memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selepas bersara, namun beliau melihat pelantikan Khalid itu "cepat" sangat, selepas persaraan rasminya daripada pasukan polis Isnin lalu.

Sambil berkata Khalid sepatutnya diberi masa untuk berehat, beliau bertanya "kenapa mereka (kerajaan) tidak tunggu sedikit lagi masa?"

"Juga, orang ramai perlu diberitahu mengapa (Khalid dilantik), jika tidak, akan timbul banyak spekulasi. Bekas IGP itu boleh diberi jawatan yang lebih berkaitan dengan keselamatan. Kekurangan penjelasan mendorong timbul spekulasi yang tidak perlu," kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan itu kepada Malaysiakini.

Ramon juga merupakan pengerusi Pusat Pengajian Dasar Awam (CPPS).

Sementara itu, pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata pelantikan ke dalam GLC, seperti Khalid, perlu lebih telus.

"Apakah kriteria dalam memberi Khalid pakej persaraan ini? Apakah pengalamannya dalam pengangkutan awam dan bas?" soalnya.

Menurutnya, pelantikan mesti dibuat dengan lebih ketelusan kerana ia berurusan dengan jutaan dana awam.

Beliau menambah bahawa Khalid harus "memberi contoh yang baik" dan mengisytiharkan asetnya selepas beliau bersara sebagai IGP dan sebelum memulakan peranan barunya.

"Selain itu, sebuah jawatankuasa pilihan parlimen juga perlu diwujudkan untuk menentukan tadbir urus dan kepimpinan dalam GLC," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Khalid dalam satu kenyataan pada hari Selasa, dengan berkata, beliau yakin Khalid akan meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Khalid juga dilantik sebagai duta khas bagi meningkatkan hubungan dalam usaha perangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

Prasarana mengendalikan kebanyakan infrastruktur pengangkutan awam negara termasuk MRT, LRT, KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di ibu negara, Pulau Pinang, Kuantan dan Kamunting.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan, entiti yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

{Baca berita penuh/asal]

 

Lihat Komen
ADS