Paling Popular
Terkini

Penduduk Pagoh tidak dilihat sebagai masyarakat yang memberontak memandangkan BN mencapai kemenangan dalam setiap pilihan raya bagi kerusi parlimen tersebut.

Namun bercakap dengan veteran politik tempatan, mereka akan bercerita mengenai seseorang yang pernah cuba untuk memecahkan genggaman Umno di Pagoh.

Dia adalah Tan Sri Othman Saat - yang kedua paling lama berkhidmat sebagai menteri besar Johor - yang mana kerjaya politiknya ditamatkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, anggota parlimen Pagoh sekarang.

Othman berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari tahun 1967 hingga 1982. Beliau tewas kepada Muhyiddin dalam pertandingan untuk jawatan ketua Umno Pagoh pada tahun 1985 dan kemudiannya memilih untuk bersara.

Muhyiddin, yang adalah ahli Parlimen Pagoh sejak tahun 1978, kemudian beralih kepada kerusi DUN di Pagoh dan berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995. Beliau kembali menjadi ahli Parlimen Pagoh pada tahun yang sama.

Othman muncul semula berikutan perpecahan Umno pada tahun 1988, untuk mengetuai parti serpihan Umno ketika itu - Semangat 46 - di Johor.

Othman bertanding dan memenangi kerusi negeri di Pagoh, dan memutuskan untuk menentang Muhyiddin di Pagoh semasa pilihan raya umum 1990. Namun dia tidak menyerahkan borang pencalonan.

Lari ke Muar?

Sebab mengapa Othman memutuskan untuk tidak bertanding di Pagoh pada saat-saat akhir tidak pernah diketahui tetapi penentangnya akan mengatakan bahawa Othman dapat meramalkan nasib Semangat 46 tidak lama. Parti itu dibubarkan pada tahun 1996.

Hampir tiga dekad kemudian, cerita mantan menteri besar Johor yang cuba menggulingkan Umno berulang lagi - kali ini dalam bentuk Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di mana beliau menjadi presidennya.

Tetapi persamaan Muhyiddin dengan Othman bukan sahaja mengenai nasib mereka, tetapi juga masa depan mereka - kemungkinan tersepak keluar dari kerusi Parlimen Pagoh.

Ini yang dimainkan oleh pihak-pihaknya yang rapat dengan Umno, termasuk blogger Datuk Ahiruddin Attan, yang berpandangan Muhyiddin mungkin berpindah ke kerusi Parlimen Muar, dikatakan disebabkan oleh kelemahannya di Pagoh.

Ini juga diulangi oleh ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, yang memenangi kerusi itu dalam persaingan sengit dengan calon PKR, Nor Hizwan Ahmad, dengan hanya majoriti 1,646 undi.

Bagaimanapun, seorang pemimpin BERSATU tempatan yang tidak mahunya namanya disebut, memberitahu Malaysiakini bahawa idea berpindah ke kerusi Muar bukan hanya propaganda BN tetapi telah disampaikan kepada Muhyiddin oleh beberapa orang kuatnya.

Daerah Muar terdiri daripada tiga kerusi Parlimen - Muar, Bakri dan Pagoh.

Mengikut senarai pemilih suku pertama tahun 2016, Pagoh mempunyai sejumlah 46,968 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 66 peratus orang Melayu, 30 peratus Cina dan empat peratus kaum India.

Sebaliknya, Muar mempunyai 48,491 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 63 peratus Melayu, 35 peratus Cina dan satu peratus India.

Bakri, satu-satunya kerusi majoriti Cina di daerah Muar, yang dikuasai oleh DAP sejak 2008.

Agak popular

Di bawah tiket BN, Muhyiddin menang besar di kerusi Pagoh, dengan majoriti 12,842 undi.

Walaupun Muhyiddin, yang agak popular di kalangan masyarakat tempatan di Pagoh, mungkin dapat menarik penyokong lama kepada parti barunya, bukan semua yang telah mengundinya berbuat demikian kerana dirinya, tetapi sebaliknya mereka mengundi BN.

Selain itu, setelah dipecat sebagai timbalan perdana menteri, menteri pendidikan dan timbalan presiden Umno, kerisauan yang ada ialah Muhyiddin tidak mungkin mempunyai sumber untuk menarik sokongan yang cukup, yang selama beliau bersama Umno, dikekalkan melalui perlindungan.

Sebaliknya, Umno hanya memenangi Muar dengan margin kecil dan kerusi itu juga tidak ada tanah rancangan Felda yang menjadi kubu kuat BN, tidak seperti Pagoh, yang mempunyai lebih 10,000 peneroka Felda.

"Muar adalah sasaran mudah kerana penduduk Cina yang lebih besar dan tidak ada Felda.

"Dia (Muhyiddin) juga boleh mendapatkan bantuan saudaranya Abdul Aziz Yassin," kata seorang pemimpin BERSATU tempatan, yang mengetuai sebuah bahagian di utara Johor. Pandangan ini sama-sama dikongsi oleh rakan-rakan BERSATU di Muar.

"Abdul Aziz masih mempunyai pengaruh yang kuat di Muar kerana dia popular di kalangan generasi yang lebih tua," kata seorang pemimpin DAP tempatan di Muar kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz adalah Ahli Parlimen Muar dan ketua bahagian Umno pada tahun 1990-an. Beliau telah menyertai BERSATU dan sekarang menjadi ahli majlis tertinggimya.

Mereka yang memihak kepada langkah itu, juga memahami bahawa bagi anggota parlimen selama tujuh penggal "melarikan diri" dari tempat itu, mungkin sukar diterima dan oleh itu telah mencadangkan Muhyiddin bertanding di salah satu dariada dua kerusi DUN di Pagoh, iaitu Jorak, di mana BERSATU percaya ia lebih kuat.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS