“Apabila isteri mahu meninggalkannya atau mempunyai hubungan dengan lelaki lain, barulah si suami akan berjumpa doktor,” kata Profesor Urologi Datuk Dr Zulkifli Md Zainuddin diikuti ketawa para hadirin di Pfizer Global Sexual Habits Survey Presentation baru-baru ini.
Ketua Unit Urologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia itu merujuk kepada keengganan kebanyakan lelaki bertemu doktor dalam menangani masalah mati pucuk atau erectile dysfunction (ED).
Bagi pakar perubatan seperti Dr Zulkifli, isu ED memerlukan perhatian segera kerana ia tidak hanya mengenai ED.
“ED dikaitkan dengan begitu banyak penyakit lain seperti penyakit kencing manis dan kardiovaskular, ED adalah petanda bahawa tubuh anda menghadapi sesuatu masalah,” jelasnya.
ED adalah ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan yang cukup untuk mengadakan hubungan seks. ED semakin meningkat, dengan satu daripada setiap lima lelaki di Malaysia mengalaminya.
Punca enggan
Bagaimanapun, mereka yang mengalami masalah ED sering kali berlengah-lengah dan menurut Dr Zulkifli kebanyakan pesakit ED akan menunggu purata empat tahun sebelum memutuskan untuk berjumpa doktor.
Berikutan rasa malu dan stigma sosial kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan diri mengenai masalah yang dialami, bahkan ada yang menyembunyikan masalah itu daripada pasangan mereka.
“Mereka mencari penyelesaian melalui sumber-sumber dalam talian atau mencuba sesuatu yang tidak konvensional termasuk mengikut cadangan rakan-rakan umpamanya bertemu dengan ‘bomoh’, mencuba ‘urutan batin’, menyapukan gambir Sarawak (ekstrak astringen), mengambil Tongkat Ali (sejenis afrodisiak) atau menerima suntikan silikon, yang merupakan pilihan popular sekarang ini.
“Kini dengan internet, lebih mudah bagi lelaki-lelaki berkenaan untuk mencari rawatan di alam maya tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka tetapi tidak semua rawatan itu selamat atau terbukti berkesan,” kata Dr Zulkifli sambil menambah bahawa beliau telah melakukan banyak pembedahan ke atas alat kelamin lelaki kerana rawatan tidak selamat itu.
“Saya berani jamin bahawa kesemua itu - Urut batin, Tongkat Ali, suntikan silikon - bukan sahaja tidak berkesan malah berbahaya.
“Dalam beberapa kes, remedi berkenaan menyebabkan kerosakan kekal. Jadi, tidak berguna lagi sedangkan sebelum itu masalah berkenaan sebenarnya boleh diatasi dengan perubatan masa kini,” katanya.
ED masih ada harapan
Zulkifli berkata lelaki yang mengesyaki dirinya menderita ED sepatutnya menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui punca sebenar keadaan itu.
“Berdasarkan pemeriksaan, kami boleh mengenal pasti tahap permasalahan pesakit ED itu, iaitu di antara tahap satu hingga empat.
“Untuk tahap satu dan dua, ubat dos yang rendah dalam bentuk pil biasanya diberikan yang membolehkan pesakit melakukan hubungan seks dalam masa empat jam.
“Jika pil tidak berfungsi, pesakit tahap tiga dan empat boleh memilih untuk rawatan lain seperti suntikan dadah atau pembedahan untuk memasang alat vakum khas atau penal rod,” katanya.
Bagaimanapun, ramai lelaki yang menderita ED kelihatan tidak yakin atau malu, oleh itu Dr Zulkifli juga agak bingung mengenai cara untuk meyakinkan mereka supaya mendapatkan rawatan sewajarnya.
Dr Zulkifli juga telah cuba pelbagai cara bagi memudahkan golongan lelaki berkenaan agar mengunjungi kliniknya, termasuk dengan memastikan bahawa klinik itu beroperasi pada waktu makan tengah hari dan kesemua kakitangan bertugas adalah lelaki.
“Mereka hanya perlu menghubungi klinik untuk membuat temu janji, tanpa perlu sebarang surat rujukan.
“Dan kami telah menganjurkan banyak kempen kesedaran, melalui wartawan dan penulisan, namun hasilnya sama, lelaki dengan ED tetap mengelakkan diri daripada rawatan sewajarnya,” katanya kecewa.
Kehidupan seksual memuaskan
Tidak seperti 20 hingga 30 tahun lalu apabila mati pucuk dilihat sebagai satu keadaan yang tidak ada harapan bagi lelaki dalam menikmati kehidupan seks, kini dengan ubat-ubatan moden mereka yang menderita ED dapat menikmati kehidupan seksual yang memuaskan.
Pfizer Global Sexual Habits 2015 Survey di tujuh negara - Brazil, China, Itali, Jepun, Rusia, Taiwan dan Turki - mendapati bahawa pengguna ubat-ubatan ED menikmati hubungan seks sebanyak enam kali sebulan, secara purata.
Hakikatnya, masih ada peluang bagi lelaki penderita ED untuk menikmati kehidupan seksual dan tidak ada sebab baginya untuk melewat-lewatkan atau mengelak daripada mendapatkan rawatan daripada pihak sewajarnya.
Kemurungan
Mati Pucuk atau Erectile Dysfunction (ED) juga dikaitkan dengan faktor psikologi dalam 10 hingga 20 peratus daripada kes-kes ED.
Kemurungan dan tekanan hidup adalah antara punca utama ED, selain cemas, rendah diri, rasa bersalah dan sikap tidak peduli, yang biasanya berpunca daripada masalah perkahwinan atau pengalaman ED sebelumnya.
Perunding Pakar Urologi di Gleneagles Kuala Lumpur, Profesor Dr. George Lee Eng Geap berkata gaya hidup moden, terutamanya pekerjaan, menyumbang kepada tekanan di kalangan pasangan sekali gus menjejaskan hubungan serta tabiat seksual mereka.
Beliau menegaskan bahawa para doktor mempunyai sumber terbaik untuk membantu seseorang menjalani kehidupan seks yang sihat.
“Jika anda merasakan bahawa kehidupan seks anda terjejas atas sebab emosi, mental dan lain-lain, doktor anda juga dapat membantu atau merujuk anda kepada seorang profesional yang lebih sesuai, seperti ahli terapi atau pakar seksologi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kebanyakan lelaki akan mengalami ED pada satu fasa hidup mereka.
“Cuma, jika masalah itu hingga menyebabkan pasangan berkenaan tidak dapat lagi mengekalkan hubungan, sehingga ia mewujudkan ketegangan dalam hubungan, barulah kami campur tangan.
“Bagi lelaki di mana ED yang dialaminya berpunca daripada masalah psikologi, terapi kaunseling mungkin diperlukan,” kata Dr Lee.
-Bernama
