Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Gautama Buddha tak ajar ganasi Rohingya'
Diterbitkan:  Sep 8, 2017 5:47 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menyelar tindakan keganasan terhadap golongan Rohingya di Myanmar yang dilakukan atas nama agama Buddha.

Katanya, pengasas agama itu Siddhartha Gautama Buddha sendiri tidak pernah mengajarkan pendekatan sebegitu.

“Keganasan ke atas penduduk Rohingya dilakukan atas nama agama Buddha.

“Kita percaya Gautama Buddha tidak mengajar sedemikian.

“Namun, nama agama Buddha digunakan oleh tokoh-tokoh Buddha untuk pengganas dengan begitu kejam dan tragis,” katanya.


Konflik itu dihangatkan lagi apabila kumpulan sami Myanmar dikenali sebagai Ma Ba Tha didakwa turut menghasut keganasan terhadap masyarakat Rohingya yang rata-rata beragama Islam.

Menulis di Facebook hari ini, Asri menyeru penganut agama itu turut bangun menyatakan bantahan.

“Jangan hanya dibantah yang Muslim tapi berdiam apabila dilakukan oleh pihak lain.” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa ulama dan pemimpin Islam di seluruh dunia telah pun bangun menyatakan bantahan jika terhadap keganasan dilakukan penganut agama itu.

“Dunia juga bersatu menentang mereka,” katanya.

“Keganasan dan kekejaman ke atas umat Islam di Rohingya jauh lebih dahsyat dari apa yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pengganas yang sering disebut oleh media.”

Ketika insiden penghujung tahun lepas, Ketua Sami Buddha Malaysia K Sri Dhammaratana tampil mengecam kumpulan sami Myanmar yang mengapi-apikan keganasan dengan menggelarkannya “sami palsu”.

Etnik Rohingya tersepit dalam konflik apabila kerajaan Myanmar tidak mengiktirafnya sebagai rakyat negara itu sebaliknya orang Bangladesh.

Keganasan yang baru meletus di Myanmar menyaksikan beratus-ratus orang terbunuh dan lebih 73,000 etnik itu lari ke luar negara sejak 25 Ogos lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS