Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib tiba di Rumah Putih
Diterbitkan:  Sep 13, 2017 12:12 AM
Dikemaskini: Sep 13, 2017 4:46 AM

Kini berlangsungnya pertemuan yang ditunggu-tunggu antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Rakaman video menunjukkan Najib tiba di White House kira-kira pada pukul 11.46 pagi waktu Amerika Syarikat (11.46 malam waktu Malaysia).

Trump berkata, satu penghormatan untuknya apabila dapat mengalu-alukan Najib ke White House.

"Kami berbincang tentang perdagangan, perjanjian perdagangan yang amat besar. Kami sedang bekerjasama untuk satu perjanjian antara AS$10-20 bilion berhubung kapal terbang Boeing yang akan dibeli dan enjin General Electric.

"Malaysia adalah pelabur yang besar di Amerika Syarikat dalam bentuk saham dan bon di bursa saham. Mereka tentunya sangat gembira kerana kami telah mencapai tahap peningkatan yang baru.

"Saya ingin berterima kasih kepada anda untuk setiap pelaburan yang dibuat di Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata Najib mempunyai peranan besar dalam "menghalang" militan Islamic State "untuk wujud" di Malaysia, dan menunjukkan pendirian yang tegas berhubung keganasan.

Trump juga memuji keputusan Malaysia untuk tidak meneruskan perdagangan dengan Korea Utara.

Najib kemudian menyatakan penghargaan kepada Trump atas jemputan ke White House.

"Kami datang ke sini dengan usul dengan nilai yang besar, kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat," kata Najib.

Beliau berkata memiliki tiga cadangan. Pertama pembelian 33 kapal terbang Boeing oleh MAS, dan meyakinkan AirAsia untuk membeli enjin General Electric (GE).

Katanya, pesawat-pesawat itu termasuk 25 buah 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliners.

“Dan terdapat lapan kebarangkalian – bukan kemungkinan – kebarangkalian kita akan tambah 25 buah 737 MAX 10 lagi dalam masa terdekat.

“Jadi dalam tempoh lima tahun, rundingan ini akan mencecah angka AS$10 billion. Kita juga akan cuba pujuk AirAsia untuk membeli enjin GE,” katanya.

Kedua, Najib berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggandakan pelaburannya di Amerika Syarikat, dan yang terakhir Khazanah akan mengembangkan peranannya di negara itu.

Malaysiakini difahamkan selain sesi singkat bersama media ini, tidak akan ada lagi sidang media.

Tidak jelas sama ada ini bermakna Trump dan Najib tidak akan mengeluarkan kenyataan bersama selepas pertemuan mereka, atau hanya media tidak boleh bertanya soalan.

Mengikut kebiasaan, kunjungan pemimpin luar ke White House akan disusuli kenyataan bersama dan wartawan daripada kedua-dua negara dibenarkan untuk bertanya dua soalan.

Namun amalan itu tidak diteruskan ketika lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi Jun lalu, apabila tiada soalan dibenarkan selepas mereka mengeluarkan kenyataan bersama.

Menurut jadual Trump yang disiarkan di laman Facebook peribadinya, pertemuan dengan Najib adalah agenda keempat beliau untuk hari ini.

Mereka berdua kemudian akan mengadakan pertemuan yang lebih lama.

Laporan terdahulu menyatakan selepas pertemuan empat mata itu, mereka berdua akan disertai Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson dan beberapa pemimpin kanan negara itu.

Najib sebelum ini berkata pertemuan itu akan menumpukan soal keselamatan, termasuk usaha untuk melawan militan Islamic State.

Selain itu, katanya lagi, perbincangan juga akan menyentuh soal perdagangan dan malah krisis Rohingya di Myanmar.

Namun, beberapa pihak mengandaikan Najib akan menggunakan pertemuan itu sebagai usaha mengurangkan tekanan daripada pihak siasatan Amerika Syarikat dalam skandal 1MDB.

Lihat Komen
ADS