Paling Popular
Terkini

ULASAN I Kelemahan strategi Datuk Seri Najib Razak semakin terserlah - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian pertukaran asing (forex) yang ditubuhkan beliau dengan tujuan mahu memalukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya menjadikan seteru politiknya semakin kukuh.

Bulan September ini akan berlalu sebagai sebuah bulan yang mendedahkan kelemahan Najib – kalaulah beliau tahu yang pembangkang dan rakyat Malaysia semua sudah tahu permainan dan percaturan beliau.

Berkenaan RCI - Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, salah seorang tokoh Bank Negara Malaysia (BNM) yang penting pada tahun 1980-an, menegaskan yang “Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dimaklumkan” tentang kerugian forex.

Sebaliknya, Nor Mohamed memperjelaskan secara berhati-hati tetapi berobjektif dalam kenyataan bertulisnya beberapa kejadian yang memaksa BNM untuk berkecimpung dalam perdagangan forex.

Pertamanya, peningkatan nilai mata wang Yen Jepun meningkat lebih 50 peratus selepas Plaza Accord 1986, di mana ahli-ahli G7, membenarkan Yen Jepun untuk arah alir ke atas. Oleh kerana Malaysia meminjam Yen Jepun daripada pelbagai projek infrastruktur, BNM memasuki pasaran mata wang asing untuk mengurangkan kerugian Malaysia.

Benar, menjangkaui pemeliharaan nilai mata wang Ringgit Malaysia, juga untuk menguatkan lagi rizab, BNM telah melompat masuk ke pasaran yang sentiasa bergolak bagi membantu Malaysia untuk meningkatkan lagi keuntungan, mengurangkan kerugian dan mengukuhkan lagi rizab.

Selamatkan ekonomi

Bukan seperti 1MDB, kerugian forex dimotivasikan dengan beban untuk menyelamatkan ekonomi negara daripada kebejatan situasi kewangan antarabangsa, di mana Bank of England pun telah tersilap langkah dengan Pound British mereka sendiri.

Keduanya, kenyataan Nor Mohamed mengesahkan yang polisi tentang kerugian telah diserap dan dipelajari bagi menghadapi krisis kewangan Asia pada 1998-1999 – pada waktu itu Mahathir berjaya mengawal Malaysia daripada kerugian berbilion-bilion ringgit.

Sehingga hari ini, Bank Negara dan International Monetary Fund (IMF) mengakui tindakan Mahathir adalah wajar. Sehinggakan George Soros juga terpaksa mengalah dengan Mahathir.

Senjata RCI Najib kini sedang menikam beliau dan kerajaan dari belakang lebih daripada beliau bayangkan. Daripada menyelar reputasi utuh Mahathir, sebaliknya RCI mengukuhkannya lagi.

Dan kita perlu ingat, Anwar Ibrahim pun tidak dimaklumkan akan kerugian yang berlaku, kerana beliau tidak pegang apa-apa bidang kuasa perbankan semasa beliau memegang porfolio menteri kewangan, kata Nor Mohamed Yakcop.

Najib kini terperangkap dengan RCI dan tipu helah beliau telah didedahkan.

Sehingga beliau mempertahankan GST, Tun Dr Mahathir gelar ia satu tipu helah juga. Mengapa perlu adakan GST sedangkan sudah ada cukai jualan? Mengapa harga minyak naik 4 sen lagi sedangkan Najib berjanji GST akan menyelamatkan kewangan Malaysia?

Jelas sekali, Najib telah kalah. Beliau tidak sedar  dirinya terkena tikaman dari belakang akibat penubuhan  RCI forex itu.


DATUK RAIS HUSSIN merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS