Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pelaburan tak salah tetapi kenapa babitkan KWSP'
Diterbitkan:  Sep 13, 2017 4:59 PM
Dikemaskini: Sep 18, 2017 4:38 AM

Pengumuman perdana menteri di Amerika Syarikat (AS) untuk melaburkan berbilion dolar lagi dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara itu mengundang kesangsian dari dalam negeri.

Aktivis pendesak Melayu, Irwan Fahmi mempersoalkan kenapa wang pencen rakyat Malaysia harus digunakan untuk pelaburan besar itu.

“Saya tidak kata pelaburan yang dibuat adalah salah tetapi mengapa KWSP terlibat?

“Adakah pada ketika ini kita hanya bergantung kepada sumber kewangan KWSP untuk membuat pelaburan?” soal bekas ketua pemuda PERKASA itu.

Dalam pertemuan dengan Donald Trump di Rumah Putih, hari ini, Najib memberitahu presiden AS bahawa Malaysia berminat melabur tiga atau empat bilion dolar lagi untuk mendukung kemudahan pembangunan semula negara itu.

Katanya, Malaysia mempunyai modal besar melalui KWSP untuk dieksport dan telah pun melabur hampir AS$7 bilion dalam bentuk ekuiti.

Pelaburan KWSP itu antara tiga cadangan yang dikemukakan Najib kepada Trump selain pembelian puluhan pesawat AS dan pelaburan syarikat pelaburan negara Khazanah dalam bidang teknologi tinggi di Silicon Valley.

Dalam kenyataan hari ini, Irwan berkata KWSP tidak sepatutnya dilihat modal utama kerajaan untuk membuat pelaburan yang besar sebegitu.

Katanya, dana KWSP adalah simpanan rakyat Malaysia untuk hari tua dan tidak harus berdepan risiko.

“Adakah ada jaminan yang pasti pelaburan ini tidak gagal?

“Sekiranya terkandas di tengah jalan adakah pihak kerajaan dapat menjamin bahawa pelaburan wang tersebut dapat dikembalikan kepada pencarum?

“Ingatlah, setiap pelaburan pasti ada risiko. Cuma adakah kita dapat mengatasi risiko tersebut,” katanya.

Gadai negara?

Berkaitan pembelian pesawat Malaysia Airlines (MAS) pula, Irwan membangkitkan persoalan sama ada ia demi pengukuhan kewangan MAS sendiri.

“Sedangkan CEO Malaysia Airlines telah membuat penjadualan perjalanan penerbangan syarikat tersebut disebabkan ingin menjimatkan kos operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Pelaburan untung atau menggadaikan negara?”

Lihat Komen
ADS