Paling Popular
Terkini

Malaysia dan Amerika Syarikat berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama bagi memerangi ancaman kumpulan pengganas ISIS atau Daesh yang semakin meningkat di Asia Tenggara.

Ini adalah antara kemuncak kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House di Wahington DC ada hari Selasa.

Ia berkata kedua-dua pemimpin menegaskan tentang pentingnya memupuk daya tahan masyarakat dan prinsip saling menghormati merentasi sempadan agama dan etnik.

“Sebagai rakan dalam perjuangan menentang ISIS dan ahli Gabungan Global yang diketuai Amerika Syarikat, kedua-dua pemimpin mengambil maklum mengenai ikrar Malaysia menyumbang sebanyak AS$1 juta untuk bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang dibebaskan daripada penguasaan ISIS,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin berikrar untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala sambil menekankan tentang pentingnya memperluaskan kerjasama dalam bidang-bidang keutamaan termasuk keselamatan maritim, counter terrorism dan perkongsian maklumat antara pasukan pertahanan dan keselamatan kedua-dua negara.

“Presiden Trump mengalu-aluan hasrat Malaysia untuk tambahan US$60 juta perolehan pertahanan daripada Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Trump dan Najib komited untuk meneruskan peluang-peluang tambahan bagi eksasais dan latihan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga menegaskan tentang pentingnya meningkatkan kesedaran domain maritim melalui pembangunan keupayaan maritim seperti pemantauan, komunikasi dan perkongsian maklumat.

“(Mereka) menyatakan hasrat untuk meneruskan perbincangan mengenai pembiayaan aset melalui mekanisme paling efektif untuk membangunkan keupayaan ini demi mewujudkan keselamatan serantau,” kata kenyataan itu.

Najib berada di Washington DC untuk lawatan kerja selama tiga hari bermula 11 September atas jemputan Presiden Trump ketika Amerika Syarikat dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala tahun ini.

Trump menyambut Najib di Rumah PUtih sempena lawatan beliau ke Amerika Syarikat untuk mengukuhkan Perkongsian Komprehensif antara kedua-ddua negara.

Kedua-dua pemimpin membincangkan komitmen mereka untuk memperkukuhkan lagi Perkongsian Komprehensif demi memupuk keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kesepakatan antarabangsa di rantau Asia Pasifik dan di seluruh dunia.

Kenyataan itu menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan Malaysia berkongsi sejarah kerjasama rapat yang panjang yang dibina berasaskan hubungan ekonomi dan kepentingan keselamatan bersama.

“Kedua-dua pemimpin berikrar untuk terus membina perhubungan itu melalui peningkatan hubungan diplomatik, ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat,” kata kenyataan.

Dokumen itu berkata Amerika Syarikat mengakui mengenai kemajuan berterusan yang dicapai oleh Malaysia ke arah memenuhi keperluan program untuk Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

“Perdana Menteri Najib mengumumkan komitmen Malaysia untuk melaksanakan perjanjian perkongsian data dengan Amerika Syarikat dan meningkatkan saringan penumpang secara berperingkat di semua pintu masuk,” kata kenyataan itu sambil menambah bahawa Amerika Syarikat komited untuk bekerjasama secara aktif dengan Malaysia ke arah itu.

Mengenai isu Korea Utara, kedua-dua pemimpin menyatakan kebimbangan mengenai ujian peluru berpandu nuklear dan balistik oleh Pyongyang yang terang-terang mencabuli pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Mengenai ASEAN, mereka menegaskan sokongan kepada usaha bersama untuk membangunkan Komuniti ASEAN berasaskan peraturan dan mengekalkan keutamaan kumpulan serantau 10 negara anggota itu di tengah-tengah senario di rantau tersebut yang berkembang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS