Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat tahfiz tiada sijil layak menduduki - Noh
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 2:54 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Pusat tahfiz yang terbakar di Keramat di ibunegara hari ini tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bulan lepas, namun masih belum diluluskan.

"Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal.

"Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Kebakaran awal pagi itu meragut nyawa 22 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz.

Noh berkata dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, hampir 29 kes kebakaran melibatkan sekolah tahfiz berlaku di seluruh negara.

"Kebanyakan (bangunan) tahfiz ini tidak mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata pengusaha sekolah tahfiz harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan para pelajar.

Beliau meminta pengusaha tahfiz agar mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihaknya untuk memastikan tahfiz yang beroperasi mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata bomba menerima pelan reka bentuk bagi pembinaan bangunan pusat tahfiz berkenaan pada 2015 dan telah memberikan pandangan mengenai kelengkapan kebakaran yang perlu ada.

"Dari segi pelan reka bentuk memang okay. Ada dua tangga dan merupakan satu asrama jenis terbuka," katanya.

Beliau berkata pengusaha pusat pengajian sepatutnya perlu menghantar pelan Mekanikal dan Kejuruteraan (MNE) untuk diluluskan pihak bomba, sebelum membina bangunan tersebut.

"Apabila siap, kena panggil bomba untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan semua keperluan kita nyatakan dipatuhi. Tetapi dalam kes ini, bangunan itu telah disiapkan dan diduduki walaupun tanpa kelulusan pelan MNE dan pemeriksaan bomba.

"Selain itu, mereka pula buat ubah suai dalaman dengan menambah pembahagi (partition) dan menutup satu laluan keluar," katanya.

Beliau berkata susunan katil yang terlalu rapat juga merupakan antara punca mangsa sukar untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, semakan juga akan dibuat sama ada pusat tahfiz itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, atau mana-mana yayasan.

“Ini bukan pertama kali, kita amat prihatin, kita tahu setiap dua atau tiga tahun ada saja kejadian insiden kebakaran atau kejadian seperti ini, kejadian struktur bangunan yang runtuh di sekolah-sekolah ini,” katanya pada persidangan media bilik orang kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sibu di penghujung lawatan kerjanya di Sarawak, hari ini.

Beliau berkata kerajaan menghormati dan berpegang teguh dengan pendirian bahawa hal agama, termasuk berkaitan sekolah agama rakyat, termaktub di bawah pentadbiran kerajaan negeri, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memantau dan menyalur bantuan tertentu dengan baik.

“Tapi kita lihat memang ada tahap piawaian keselamatan di sekolah-sekolah ini yang tidak dipatuhi, seolah-olah ada kedegilan di kalangan mereka yang melihat seolah-olah kerajaan nak campur tangan dalam urusan mereka,” katanya

Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah-sekolah dalam negara, baik yang dikendalikan penuh oleh kementerian, mahupun yang dikendalikan oleh pihak swasta dan persendirian.

Katanya sebagai sebuah pentadbiran yang prihatin, kerajaan sentiasa mengambil berat dan tidak akan berkompromi dengan sebarang malapetaka, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kehilangan nyawa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS