Paling Popular
Terkini
story images
story images

Semua sekolah tahfiz perlu mematuhi garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan walaupun mereka tidak terletak di bawah kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, apatah lagi selepas banyak berlaku kejadian kemalangan seumpama ini sejak beberapa tahun lalu.

"Biarpun ibadah dalam pengajian ini diberi keutamaan, aspek keselamatan hendaklah dijaga.

"Biarpun tujuan kita mahu menuju jalan akhirat, tetapi aspek keduniaan termasuk ciri-ciri keselamatan hendaklah diberi keutamaan," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah hari ini.

Bangunan pusat tahfiz yang terletak di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur itu dilanda kebakaran awal pagi tadi, meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 penghuni.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pusat tahfiz itu masih dalam proses memohon sijil kelayakan menduduki bangunan.

Zahid berkata kerajaan akan berusaha menyelaraskan pentadbiran pusat tahfiz dan menggesa pihak pentadbiran institusi itu tidak menganggapnya sebagai campur tangan kerajaan.

Katanya, ada sesetengah pusat tahfiz sebelum ini menganggap usaha meningkatkan keselamatan di sana sebagai usaha mencampuri urusan pentadbiran mereka.

"Pada Mei lalu saya melancarkan latihan khusus oleh jabatan bomba untuk maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat mewujudkan pasukan bomba sukarelawan sendiri, tetapi ada maahad yang khuatir kita mahu campur tangan atau ambil alih pentadbiran mereka.

"Dengan tidak berhajat untuk campur tangan dalam hal pendidikan di bawah kerajaan negeri, atau mana-mana pihak berkuasa peringkat negeri, saya berpandangan piawaian yang telah ditentukan melalui dasar pendidikan maahad tahfiz perlu dipatuhi sepenuhnya," katanya.

Beliau merujuk Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dirangka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2016 yang bertujuan memperkasa institusi itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata pusat itu hanya mempunyai satu pintu keluar masuk, menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Polis kini sedang menyiasat dakwaan bangunan pusat tahfiz itu tidak memiliki permit yang sah.

Lihat Komen
ADS