mk-logo
Berita
Pengetua tahfiz perlu tanggung dan jawab
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 9:01 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Pengetua pusat tahfiz yang terbakar patut ditangkap kerana tidak mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kata bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

“Mudahnya Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Muhammad Zahid Mahmod fatwakan syahid kematian terbakar 22 pelajarnya.

“Nanti difatwa pula dirinya tak berdosa,” kata Zainuddin melalui akaun Twitternya hari ini.

Zainuddin berkata demikian sebagai merespon tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa pelajar dan guru pagi ini.

Sebelumnya, pengetua pusat tahfiz tersebut Muhammad Zahid Mahmod menyifatkan kesemua pelajarnya yang maut dalam kebakaran awal pagi tadi sebagai mati syahid.

Ketua Biro Agama PKR Wan Ji Wan Hussin juga bersependapat dengan status mangsa kebakaran yang dianggap syahid berdasarkan hadis nabi yang diriwayatkan antara lain Imam Malik, Abu Daud dan Ibnu Majah. 

Zainuddin menambah, beberapa kenalan peguamnya ada mengendalikan beberapa kes ustaz yang dituduh menipu dalam penubuhan sekolah tahfiz, seperti dalam isu kutipan derma dan pengambilan tanah.

Sehubungan itu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu mengkritik kementerian pendidikan yang tidak memandang serius saranan beliau untuk mengharamkan sekolah tahfiz April tahun ini.

“Menteri pendidikan tak anggap urgent syor saya supaya sekolah tahfiz diharamkan dahulu sehingga ada standard sistem. Hari ini dia bayar harganya,” katanya.

Pada April lalu, Zainuddin pernah mencadangkan agar sekolah tahfiz diharamkan ekoran kematian pelajar Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di sebuah madrasah di Johor.

“Dalam menggesa pusat tahfiz patuh piawaian keselamatan, timbalan perdana menteri kata tak bererti kerjaan campurtangan. (Datuk Seri Zahid Hamidi) Masih takut kesan politik walaupun ramai mati,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengesahkan bahawa pusat tahfiz tersebut tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal.

Lihat Komen
ADS