Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M sedih tragedi 28 tahun lalu berulang
Diterbitkan:  Sep 15, 2017 10:21 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa insiden kebakaran yang melibatkan sebuah pusat tahfiz di Kedah hampir tiga dekad lalu berulang.

"Saya sedih perkara seperti ini berlaku sekali lagi," katanya dalam laporan Sinar Harian.

Beliau merujuk insiden itu pada 22 September 1989, di mana 27 pelajar maut dalam kebakaran asrama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah.

Dr Mahathir melawat mangsa tragedi itu yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan juga meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama keluarga mangsa di Institut Perubatan Forensik Negara HKL semalam.

Menurutnya, pembinaan bangunan sepatutnya mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan.

"Apabila berlaku sebarang kejadian, mangsa dapat menyelamatkan diri dengan baik.

"Dalam kejadian ini, saya difahamkan ada dua sahaja pintu," laporan itu memetik beliau sebagai berkata.

"Saya harap selepas ini semua sekolah mengkaji semula tahap keselamatan sekiranya berlaku kebakaran," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, Bernama melaporkan Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan rasa sedih atas tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara awal pagi semalam, yang menyebabkan 21 pelajar dan dua guru terkorban.

Perdana menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Saya mendoakan agar roh mereka disemadikan bersama para syuhada kerana mereka mempunyai iman yang kuat,” katanya dalam sidang media selepas pertemuannya dengan rakan sejawatannya dari United Kingdom Theresa May di pejabat Perdana Menteri UK itu di 10 Downing Street di London pada Khamis.

Najib seterusnya menasihati pihak pengurusan tahfiz di seluruh negara agar memandang berat aspek keselamatan dengan mematuhi semua garis panduan berhubung keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian serupa berulang.


 

Lihat Komen
ADS