Banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang ekoran hujan lebat yang turun beberapa jam awal pagi ini.
Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow berkata banjir kilat mula berlaku pukul 7.30 pagi.
Kawasan yang terjejas setakat ini, katanya, adalah seperti berikut:
- Di Seberang Perai: kawasan Mak Mandin dan Taman Cantik.
- Di kawasan timur laut: Jalan P. Ramlee, Datuk Keramat, Thean Teik, Relau, Masjid Negeri, Lumba Kusa, Kampung Kubur Batu Feringghi dan pusat bandar; dan
- Di kawasan Barat Daya: Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan Bayan Baru.
Video yang disiarkan di Facebook menunjukkan pokok-pokok yang tumbang dan kereta terendam dalam air banjir. Satu video menunjukkan kereta hampir separuh tenggelam dan dihanyut air.
Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang berkata dalam satu kenyataan bahawa banjir berlaku dari pukul 4 pagi hingga 9 pagi ini.
Ia menyenaraikan sejumlah 19 kawasan yang terjejas di kawasan timur laut negeri itu dan berkata tahap banjir adalah antara 0.1 hingga 0.6 meter.
Paras air di kedua-dua Sungai Pinang dan Sungai Air Itam berada di tahap "bahaya", masing-masing pada 3.2m dan 7.32m.
Sementara itu, paras air laut semasa banjir adalah pada 1.6m. [Baca berita penuh/asal]
Sementara itu, Bernama melaporkan, kejadian banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di lima daerah di negeri itu pagi ini susulan hujan lebat sejak 3 pagi tadi hampir melumpuhkan bandar raya George Town yang mengalami kesesakan teruk selepas beberapa jalan menuju ke pusat bandar ditutup akibat ditenggelami air.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Masjid Negeri, Sungai Pinang, Taman Lumba Kuda, Bandar Baru Air Itam, Paya Terubong, Relau, Balik Pulau, Batu Ferringhi serta beberapa kawasan di Seberang Perai iaitu Taman Bagan, Mak Mandin, Permatang Pauh dan Jalan Tembikai.
"Namun sehingga kini belum ada pusat pemindahan dibuka selain tiada laporan kemusnahan harta-benda atau kemalangan jiwa diterima," katanya kepada pemberita.
Kesesakan teruk juga dilaporkan berlaku di sekitar bandar raya dan di atas Jambatan Pulau Pinang dari kedua-dua arah termasuk di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu menuju ke pusat bandar berikutan penutupan jalan.
Setakat 10 pagi ini, keadaan hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jalan P.Ramlee ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.
Selain itu, difahamkan kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh turut dilaporkan di Medan Fettes dan Paya Terubong namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, paras air sungai di Sungai Pinang dan Sungai Air Itam telah mencecah paras bahaya.
"Tahap kedalaman air di beberapa kawasan di Timur Laut telah mencecah 0.6 meter namun setakat 9 pagi ini tiada pusat pemindahan dibuka," katanya.
