Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM Singapura: Halimah Yacob jadi sejarah penting Singapura

Upacara mengangkat sumpah Halimah Yacob sebagai orang Melayu pertama menjadi presiden Singapura selepas 47 tahun adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah republik itu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Lee berkata Halimah adalah orang Melayu pertama dipilih menjadi presiden Singapura sejak jawatan itu ditentukan melalui pemilihan pada 1991, dan presiden pertama yang dipilih selepas perubahan besar dilakukan terhadap perlembagaan negara itu tahun lepas.

Halimah juga merupakan presiden wanita pertama Singapura, katanya ketika berucap di Istana, Singapura semalam.

“Hari ini, kita meneguhkan lagi ikrar Lee Kuan Yew yang dilafazkan pada 9 Ogos 1965, sejurus selepas kita mencapai kemerdekaan, bahawa ini bukan negara orang Melayu, orang Cina atau orang India. Setiap orang mempunyai tempat, secara sama rata: tanpa mengira bahasa, budaya, agama.

“Kita memilih impian yang lebih mulia: Singapura yang bersifat pelbagai kaum, pelbagai agama,” katanya.

Lee berkata selepas setengah abad, Halimah yang dipilih sebagai presiden menjadi simbol jelas tentang tekad Singapura untuk memelihara dan berpegang teguh dengan impiannnya itu.

“Ini menjadi sesuatu yang amat penting lagi dengan mengambil kira trend yang wujud di rantau ini dan di seluruh dunia sekarang.

"Pada zaman nasionalisme etnik semakin menonjol sekarang, keganasan puak ekstremis menyemai perasaan curiga dan takut manakala ideologi eksklusivis mendalamkan lagi jurang perbezaan komunal dan agama di Singapura ini,” katanya.

Dalam keadaan demikian, kata Lee, golongan majoriti akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan golongan minoriti menikmati hak secara sama rata.

“Itu adalah sesuatu yang istimewa, amat berharga tetapi rapuh. Sebab itulah kita memastikan Parlimen sentiasa mempunyai wakil daripada semua kumpulan etnik,” katanya.

Lee berkata dari semasa ke semasa, Singapura mempunyai seorang ketua negara yang menjadi simbol negara ini, “seseorang yang boleh kelihatan seperti Presiden Benjamin Sheares yang merupakan seorang Serani, Presiden SR Nathan seorang India, Presiden Tony Tan seorang Cina dan Presiden Halimah Yacob seorang wanita dan Melayu."

“Sebenarnya, itulah sebab utama kerajaan meminda perlembagaan tahun lepas,” kata Lee.

Mengikut pindaan yang dibuat terhadap perlembagaan pada November tahun lepas, pemilihan akan dikhususkan untuk kumpulan kaum tertentu sekiranya tiada sesiapa daripada kumpulan itu yang menjadi presiden dalam tempoh lima penggal berturut-turut.

Pilihan Raya Presiden tahun ini dikhususkan untuk masyarakat Melayu.

“Puan Presiden, Encik Yusof Ishak menjadi presiden untuk semua rakyat Singapura, tanpa mengira bangsa, bahasa, agama atau gender. Puan juga akan menyatukan kita semua. Puan juga akan mengukuhkan lagi semangat bernegara kita. Puan juga akan menjadi presiden kita,” kata Lee.

Halimah diisytiharkan sebagai Presiden pada Rabu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS